HARUNGI HARI-HARI REHAT BIASA KEPADA YANG LEBIH LUAR BIASA
Menggenggam tangan dan mengumpul lima jari ibarat menyatukan kekuatan kecil pada setiap jari pada tapak tangan dan dengannya..maka akan terhasillah kekuatan padu yang bisa merubah pelbagai perkara. Lima jari yang seringkali mahasiswa gunakan setiap hari, memicit-micit kepala yang penat menghadap buku, menguruskan kumis-kumis kecil selepas beberapa minggu sibuk menghadapi exam akhir, dan menekan-nekan kalkulator untuk menutup akaun belanjawan semester ini..barangkali ada mahasiswa yang tidak menyedari bahawa lima jari yang diamanahkan terbiar kasar melewati waktu tanpa pengurusan yang sebetulnya.
Ingatlah, pada lima jari kita terhimpun besar kekuatan yang boleh menjadikan mahasiswa semakin mengerti tujuan ditempatkan sebagai khalifah di muka bumi. Lima jari kita seolah-olah sebagai simbol peringatan Allah SWT kepada lima perkara yang perlu diuruskan sehari-hari dengan penuh teliti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bagai hitungan kepada lima perkara yang pasti akan dialami oleh setiap mahasiswa..anak jari diibarat masa LAPANG sebelum SEMPIT mahasiswa. Seperti anak kecil, masa lapang berhabis begitu sahaja tanpa menyedari umur semakin meningkat dewasa tetapi ilmu panduan hidup tetap pada takuk yang lama. Jari manis yang indah terhias cincin tunangan@adat mahasiswa sekarang sebagai tanda sudah berpunya boleh diibaratkan zaman MUDA sebelum TUA. Tanpa iman dan pegangan kukuh betapa mudahnya mahasiswa terjatuh kedalam cinta manusia biasa dan tujuan berada di taman ilmu menjadi kabur dan kabut. Apabila diajak untuk sama-sama duduk di surau menuntut ilmu agama dan dengar ceramah agama..banyak alasan diberi. Dinasihat untuk berubah kepada mahasiswa berilmu, beriman dan matang mudah memberi alasan belum bersiap sedia lagi.
Sekarang terserah kepada mahasiswa sendiri untuk membawa diri kerana tiada siapa tahu mungkin mereka bisa memberi alasan kepada malaikat maut tika saat nyawa dicabut kerana tidak bersedia lagi. Jari tengah menjadi jari kebiasaan orang-orang kaya untuk dimuatkan cincin yang lebih dan berat batu permatanya. Bagai ingatan KAYA sebelum MISKIN begitu jualah dengan jari telunjuk mengingatkan kita tentang SIHAT sebelum SAKIT. Terluka sedikit pun jari telunjuk itu, suapan nasi ke mulut menjadi payah dan stress makin bertambah-tambah. Jari terakhir ibu jari diangkat dan dijungkit ke atas apabila bersetuju dan menunjukkan rasa puas dan bagus kepada seseorang. Seperti saat HIDUP sebelum MATI dan ibu jari yang memberikan peranan utama, ibarat nyawa kepada jari-jari yang lain. Lihatlah..fikirkanlah..anugerah Allah SWT kepada mahasiswa dan kami mengajak mahasiswa bangkitlah dalam menjadi khalifah kepada diri masing-masing sekurang-kurangnya..untuk pelajar siswa yang berani membawa anak gadis orang tanpa izin ibu bapa untuk menunggang motor dan kereta cuba-cubalah bertanyakan kepada diri sendiri..mampukah memimpin gadis itu sedangkan matlamat hidup dunia akhirat sendiri belum lagi dikenal pasti. ‘Saya hanya manusia biasa..’ itulah jawapan dari mulut mahasiswa. Alhamdulillah..atas dasar kesedaran kita sebagai manusia biasa maka sedarlah bahawa kelima-lima perkara itu harus digunakan sebaiknya sebelum lima perkara lain datang.
Kelima-lima perkara tersebut ibarat jari ditangan kita. Tidak sama masa dan subjektifnya untuk diperincikan selama mana kita akan bersenang dengan lima perkara sebelum lima perkara. Seperti kelima-lima jari kita..panjang pendeknya tetap tidak akan sama melainkan makhluk istimewa yang cacat genetiknya atau terputus kerana Allah SWT menarik semula pemberiannya atas sebab-sebab tertentu. Sedar-sedarlah mahasiswa jika ada lagi yang masih hanyut bermain di laman nafsu dan percaturan mainan dunia, terasa diri masih muda dan tidak bersedia lagi untuk pertahankan agama dan saudara kita, tidak merelakan harta dikongsi untuk membantu yang merana, bebas bergaul bersentuh mesra hingga terlupa pencatat amalan dan manusia sekeliling yang jelek memandang mereka..dan terlupa sekejap saja lagi malaikat maut menjemput dengan rasminya.
Masa yang ada dan kesempatan cuti semester yang melambai mendekati bukankah lebih baik jika sepenuhnya diguna untuk melengkapkan lagi kekosongan hati dan ilmu bermanfaat pelbagai bentuk yang pasti menjamin kematangan mahasiswa dalam membina jati diri yang seringkali dilihat begitu kurang terbina dalam diri mahasiwa. Kita tidak tahu..mungkin ketika habisnya ayat terakhir ini dibaca dan ditulis penulis dijemput dulu ke sana dan pembaca tiba-tiba tersedar diri bukan lagi didepan kesan sistem 010101 tetapi sudah terbujur menanti untuk disoal. Selamat bercuti dan sama-samalah memajukan diri sendiri supaya seluruh sistem anggota amanah Allah SWT ini benar-benar membawa erti apabila tiba timbang tara kelak. Semoga bersua kembali semester hadapan…!