Ura-ura yang didengari oleh pihak GMM dari kampus-kampus utama Lembah Klang, Pilihanraya Kampus (PRK) bakal berlaku sekitar pertengahan bulan 10 ini. Namun apa yang mengecewakan, pelajar-pelajar UiTM masih tiada kesedaran akan terjadinya PRK dalam masa terdekat ini. Sedang kampus lain mengadakan persiapan menghadapi PRK, pelajar-pelajar UiTM masih terpinga-pinga, bagaikan meraba-raba di dalam gelap mencari lampu suluh. Menurut laporan PRK 2007/2008 yang lepas, UiTM mencatat kemenangan 100% dari Pro-ASPIRASI dan ini terjadi adalah berikutan tiadanya parti pembangkang yang wujud di UiTM. Sememangnya UiTM sebuah kampus yang sangat berlainan dari kampus-kampus lain terutamanya Kampus besar di Lembah Klang, mereka mempunyai Parti Pembangkang dan Pro-Aspirasi. Ini menggambarkan sistem yang diamalkan di UiTM adalah sistem yang tidak mempunyai hak kebebasan mengundi atau lebih tepat demokrasi. Agak lucu apabila melihat calon dari Pro-Aspirasi bertanding sesama mereka, tiada perdebatan dan kempen besar-besaran diadakan. Cuma yang ada, sekadar menggantung dan menampal poster calon sahaja. Calon-calon pula, berkempen dari bilik kuliah ke bilik kuliah dan diekori 4 hingga 5 orang 'tukang kempen'. Pelajar-pelajar UiTM terperangkap di dalam kepompong ciptaan pentadbirannya sendiri, maka lahirlah pelajar yang kurang daya tahan juangnya dan nilai kepimpinan yang sangat minima. Adakah ini tandanya pelajar UiTM tidak mempunyai jiwa demokrasi yang sememangnya diamalkan di Malaysia? atau mungkin juga pelajar UiTM telah didoktrin oleh pihak pentadbiran supaya pelajar-pelajarnya tidak tahu apa-apa tentang demokrasi. GMM akan mengupas isu ini untuk paparan yang lebih telus untuk pelajar-pelajar UiTM.