Selamat Datang ke blog GMM

Siapa kami??Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka!

UiTM Seluruh Malaysia

Bersatu demi MATLAMAT yang SAMA. BUKA MATA BUKA HATI.

Perjuangan tidak berhenti disini

Demi masa depan anak-anak kami kelak, kami akan BERSATU memperjuangkan HAK kami.

Siapa kami?

Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka

FREEDOM!!

HAK kita semua

TAHNIAH UITM!!!




Akhirnya 19 Januari 2011 menjadi sejarah di Uitm apabila pelancaran speaker’s corner telah dilancarkan oleh Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar.

Saat dan detik ini telah lama di nantikan oleh mahasiswa-mahasiswa Uitm. Setelah sekian lama ‘SUARA’ mahasiswa UiTM di matikan,kini UiTM bakal memulakan episode baru dalam rencana mengubah destini anak bangsa.

Ingatkah kita pada sudut pidato,yang dahulunya menjadi medan bagi mahasiswa untuk menyampaikan idea dan hujah akan sesuatu perkara yang berkaitan dengan zaman itu.Hujah-hujah yang disampaikan dengan penuh wacana kewibawaan tetapi malangnya sudut pidato itu dilenyapkan dengan pengharaman sudut pidato oleh KPI pada tahun 1971 di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU)1971.

Sebelum kita melangkau jauh dalam perbincangan,suka untuk penulis berkongsikan mengenai erti kata sebenar sudut pidato itu sendiri.Menurut laman web Wikipedia,”sudut pidato adalah kawasan dimana pertuturan awam dibenarkan.Para pemidato dibenarkan untuk berucap asalkan mengikut undang-undang .Ianya tidak immune dari undang-undang dan tajuk adalah bebas dan tiada tajuk yang diharamkan.Polis hanya akan masuk campur apabila mereka menerima sebarang rungutan tentang penggunaan bahasa yang kasar.”

Begitulah serba sedikit mengenai definisi sudut pidato dan dari pengamatan penulis,sebenarnya melalui sudut pidato inilah akan membangkitkan kemahuan mahaisiswa untuk bersuara dan sudah pastinya mahu suara mereka didengari walaupun kadang-kadang hujah-hujah yang disampaikan adalah bertentangan dan berbeza-beza.

Pada masa yang sama,sudut pidato juga merupakan salah satu platform pada anak-anak muda untuk membentuk keperibadian dan kemahiran untuk bercakap.Kemahiran yang diasah ini sekaligus akan membina keyakinan diri yang jitu dalam jiwa pelajar yang terlibat.
Sudah semestinya pelbagai idea akan dilontarkan dan yang paling penting sebeza mana pun idea yang dilemparkan,tetapi pada pendengar pastinya akan mengambil kesempatan untuk menjadi wadah pada mereka untuk menambah ilmu tentang isu sejagat.Satu perkongsian ilmu yang sangat berharga pada pemikiran penulis.

Di bawah ini merupakan konsep penganjuran yang telah penulis ketahui:
“Setiap bulan lain tema (bulan pertama : tema bebas, jika mendapat sambutan..akan terus diadakan setiap minggu di Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam). Setiap minggu (kemungkinan setiap Selasa) setiap 2-3 pelajar akan memberi pandangan mereka selama 5-7 minit. Setiap bulan akan ada tema dan pemilihan topik akan bergantung pada perbincangan oleh Debate Club dan HEP. Bagi bulan pert...ama iaitu bulan pelancaran dan percubaan, tema ialah bebas.”

Konsep yang dibawakan ini adalah realistik dan menarik sekali.Pada peringkat awal ini,pada pengamatan penulis sambutannya pasti sedikit perlahan.Hal ini kerana untuk membandingkan suasana diantara sebelum tahun 1975 (pindaan AUKU) dan zaman sekarang adalah sesuatu yang tidak adil. Kayu ukurnya pula tiada dan zamannya sudah pasti berbeza. Oleh kerana mahasiswa zaman sekarang telah terlalu lama dikongkong oleh AUKU tersebut, maka, mahasiswa perlu mengambil sedikit masa, boleh jadi masa yang lebih lama, untuk mahasiswa merasai bahawa mereka sebenarnya mempunyai kebebasan dan sedia menerima kebebasan itu. Ramai yang percaya apabila mahasiswa diberi peluang untuk bercakap dan menyuarakan pendapat, ianya akan dapat melahirkan pelajar-pelajar universiti yang lebih matang, lebih bertanggungjawab dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Kesediaan pihak kementerian meminda AUKU pada 2009 menjadi petanda bahawa mereka sangat yakin serta menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap mahasiswa negara ini.Namun, adakah mahasiswa sendiri sudah bersedia melaksanakannya?

Sudut Pidato dan politik memang tidak dapat dipisahkan. Namun, dengan menganggap sudut pidato adalah ‘sudut politik’ mungkin ada betulnya, tetapi tidaklah terlalu tepat. Sudut pidato mungkin lebih sesuai difahami sebagai medan pengucapan awam yang mengamalkan kebebasan bersuara, kebebasan memberi pendapat, menerima pendapat dan juga menolak pendapat tersebut. Perbezaan pendapat adalah amat diraikan di sudut pidato, selagi konsep ‘hujah dibalas hujah’ di amalkan. Betapa besar sekali pun pentas yang akan dibina untuk sudut pidato, betapa ramai sekali pun jumlah mahasiswa di Universiti tersebut, jika kebebasan bersuara ini masih asing bagi mereka, apa guna ia dihidupkan kembali? Dengan hanya memandang perkara ini hanya milik sesetengah mahasiswa sahaja seperti ahli kelab pidato atau kelab seumpamanya yang lain.

Kebanyakan mahasiswa beranggapan bahawa isu masyarakat, isu ekonomi dan isu politik bukanlah isu mereka. Isu undang-undang hanya dibincang oleh pelajar jurusan undang-undang. Isu ekonomi hanya dibincang oleh pelajar jurusan berkaitan ekonomi, dan begitulah seterusnya. Jika mahasiswa sedar kemampuan dan kekuatan yang mereka ada, pasti mereka tidak akan melepaskan peluang yang diberi oleh kementerian kepada mereka. Jika dahulu mereka melaungkan agar hak mahasiswa dikembalikan. Dan mereka sebenarnya sedar bahawa sudut pidato adalah salah satu daripadanya. Tetapi, jika sudut ini pun mahasiswa tidak mampu untuk hidupkan dan gunakan sebaiknya. Bagaimana pula jika mahasiswa menerima semua hak yang mereka mahukan?

Ayuh mahasiswa,ubah paradigma kita!!

ISU AIR DI SELANGOR, PEDULIKAH MAHASISWA UiTM?



Isu air: Mahasiswa ikrar iring MB S'gor berdemo


Kumpulan mahasiswa di negara ini berikrar mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Ahad ini.Kumpulan yang membabitkan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) akan disertai sekurang-kurangnya 300 mahasiswa dari seluruh Lembah Klang.
Presiden KAMI, Hilman Idham (kanan) berkata, ini kerana banyak mahasiswa yang tinggal di rumah sewa turut terjejas secara langsung sekiranya tarif air dinaikkan sebanyak 37 peratus.


"Selangor merupakan negeri yang memuatkan institusi pengajian tinggi yang menjadi rumah kedua kepada sebilangan besar mahasiswa dari seluruh pelosok negara.Sebahagian besar mahasiswa tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan sebilangan besar darinya tinggal menyewa di kawasan perumahan berhampiran universiti atau kolej kediaman," katanya.


Ahad ini, satu perhimpunan dianjurkan di Masjid Negara di Kuala Lumpur bagi mengiringi Khalid ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum itu.Menteri besar dilaporkan akan turut menyerahkan tandatangan rakyat Selangor yang menolak kenaikan tarif air pada 31 Mac tahun depan.


Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Hilman - mahasiswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - berkata kesan kenaikan tarif air di negeri itu bakal membebankan separuh daripada puluhan ribu mahasiswa di seluruh Selangor.Menurut pelajar tahun akhir UKM itu, di universitinya sahaja, kira-kira 40 peratus mahasiswa tinggal di rumah sewa manakala di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula didakwa lebih 60 peratus terlibat.


Ditanya kenapa masih banyak kumpulan mahasiswa yang dilihat 'senyap' berhubung perkembangan itu, Hilman mengakui masih ada di kalangan mereka yang masih "gagal menyuarakan prinsip" masing-masing.


Sementara itu, menjawab soalan pemberita, exco perhubungan MPM Unisel Mohd Fikri Hamdan pula menafikan bahawa mahasiswa di universiti milik kerajaan negeri itu 'digunakan' bagi kepentingan pihak tertentu dalam bantahan itu."Ini inisiatif kami sendiri. Lagi pun, mahasiswa di Unisel bukan semuanya rakyat Selangor, (sebaliknya) daripada pelbagai negeri."Jumaat ini - dua hari sebelum perhimpunan itu - KAMI dan MPM Unisel merancang menyebarkan risalah di masjid sekitar universiti di Lembah Klang bagi mengajak mahasiswa lain turut serta berhimpun bersama Khalid.

Kenaikan Harga, Terjejaskah Mahasiswa?



Adakah alasan "tidak mempunyai kenderaan" menjadi trend mahasiswa yang tinggal di kolej atau menaiki bas ke kelas untuk tidak peduli dengan sebarang kenaikan harga minyak kenderaan bermotor? Hari ini merupakan hari pertama kenaikan harga petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula setelah diumumkan semalam. “Dimana slogan rakyat didahulukan yang dilaungkan sebelum daripada ini sekiranya perkara keperluan asas rakyat juga boleh diperdagangkan?".Secara tidak langsung, bila harga petrol dan diesel naik akan menyebabkan harga barangan lain akan naik. Mahasiswa UiTM kesal dengan kenaikan harga ini.

Malaysia Sebuah Hub Pusat Hiburan Malam

WAHAI MAHASISWA GENERASI PEMIMPIN:
Didalam memacu agenda pendidikan dan pembangunan remaja di Malaysia, satu berita yang amat menggemparkan telah mematahkan semangat anak muda dalam mendokong agenda pendidikan negara. Hasrat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sesuatu yang teramat mendukacitakan.

Malah satu daripada 12 projek permulaan (EPP) itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, maka makin mudah lah artis seperti Adam Lambert untuk mengadakan konsert di negara Islam ini.

Lapor Malaysiakini, lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.Persoalan yang harus difikirkan oleh mahasiswa, adakah agenda baru ini ingin bersaing dengan industri pendidikan negara yang sama hebat prancangannya? Aduhai mahasiswa UiTM dan di luar sana, anda menerima perkara ini dengan sabar dan tenang sahaja?

Adakah kerajaan tidak 'aware' bahawa sangat ramai pemuda Islam dan Melayu yang juga mungkin segelintirnya adalah mahasiswa mengunjungi kelab-kelab malam di kota-kota? Tidakkah mereka membaca surat khabar Harian Metro atau ambil pengajaran dari rancangan Edisi Siasat atau 999?

Masyarakat kita makin tenat dek gejala sosial yang tidak pernah berkurang dan kerajaan berhasrat untuk menyediakan lebih ruang dan peluang untuk maksiat? Adakah mahasiswa tidak tercabar?

Adakah berbaloi hasrat ini hanya kerana ia mampu meningkatkan pendapatan negara dan kita pula perlu membayar nilai itu dengan masyarakat yang semakin hancur kerana lorong nafsu semakin luas terbuka?

Persoalan lain adalah, tiadakah cara lain yang boleh kita usahakan untuk memantapkan lagi industri pelancongan negara?

Semoga pihak kerajaan menilai semula langkah ini kerana pastinya rakyat tidak berkenan dan kecewa dengan berita ini.

Memetik apa yang yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin,

"Lorong ke Syurga itu perlu melalui duri-duri (melawan nafsu), dan lorong ke Neraka itu dengan mengikuti hawa nafsu". (Hadis riwayat Abu Daud & Ahmad, Albani : Sohih )

"Sesungguhnya Allah swt berkata kepada Adam (a.s) : Sesungguhnya Allah akan membangkitkan zuriat kamu dengan sekumpulan akan ke neraka, maka berkata Adam : Wahai tuhanku, berapa ramai jumlah mereka. Jawab Allah : dari setiap seribu orang, seramai 999 akan ke neraka dan hanya seorang ke syurga. ( Hadis riwayat Ahmad & At-Tabrani dengan sanad yang baik : Majma' Az-Zawaid, no 18621)

Dari hadis di atas, jelas dinyatakan nisbah penduduk syurga dengan neraka dari 1000 orang, 999 akan dihumban ke neraka dan hanya seorang sahaja yang layak ke syurga. Justeru, mengapa industri nafsu ingin dijadikan sumber pendapatan?

Bukankah lebih baik jika pihak kerajaan berusaha untuk membawa kita rakyat-rakyatnya ke arah mendapatkan syurga Allah.APA KOMEN DAN PERANAN MAHASISWA? MENERIMA SEADANYA?

KREDIBILITI PIMPINAN MAHASISWA: SUATU PERSOALAN

Dalam keghairahan para mahasiswa UiTM menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan akhir yang bermula pada 25 Oktober ini, Negara digemparkan dengan beberapa isu yang berkait rapat dengan mahasiswa. Pada 14 Oktober lalu, Malaysia telah ‘diceroboh’ dengan kedatangan seorang ikon gay yang mengadakan konsert di Stadium Tertutup Bukit Jalil. Artis yang sangat terkenal ini telah pun menghidangkan hiburan menjijikkan kepada masyarakat dengan aksi-aksi tidak bermoral di atas pentas. Ramai dikalangan aktivis mahasiswa dan masyarakat serta badan-badan NGO yang turun padang menyatakan bantahan mereka. Begitu juga mengenai isu Islamic Fashion Festival yang dikatakan menghina kemuliaan Islam dan diri Rasullullah SAW apabila salah seorang daripada peragawatinya memperagakan pakaian yang mempunyai nama Rasulullah yang ditulis dalam keadaan terbalik. Dan yang lebih menyedihkan adalah penganjuran program ini adalah dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, iaitu Datin Seri Rosmah Mansur. Selain itu, isu berkenaan pembentangan Budget 2011 di Parlimen juga merupakan isu yang hangat diperkatakan dasawarsa ini. Belanjawan yang tidak menguntungkan rakyat, pembinaan projek mega yang tidak menyumbang kepada keperluan rakyat yang semakin sengkek, dan isu kronisme antara yang menjadi perhatian dikalangan anggota masyarakat.
GMM tidak ingin mengulas lanjut berkaitan isu-isu di atas kerana GMM kira para pembaca boleh mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan tepat di blog-blog lain. Tetapi apa yang ingin GMM canangkan di sini adalah mengenai kebisuan masyarakat UiTM terhadap isu-isu nasional. GMM sengaja membiarkan isu-isu ini berlegar selama beberapa hari untuk menunggu sekiranya ada di kalangan pemimpin mahasiswa UiTM yang bangkit untuk membahaskan isu-isu ini. Di kala aktivis-akitvis dan para pemimpin mahasiswa dari universiti lain bangkit dengan beraninya untuk menyatakan pendirian mereka, saf kepimpinan mahasiswa UiTM hanya membisu seribu bahasa. Di mana pendirian saudara Muhammad Ridhwan Mat Saleh selaku Yang Di-Pertua Mjlis Perwakilan Pelajar dalam menilai isu ini.?Apakah beliau hanya sibuk membelek buku dan berulit dengan tugasan hinggakan tiada masa untuk mengambil tahu berkenaan isu semasa di peringkat nasional? Bukankah sebagai peneraju kepimpinan mahasiswa di UiTM, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menyedarkan masyarakat kampus berkenaan keadaan semasa yang berlaku disekeliling mereka? Bagaimana dikatakan bahawa UiTM merupakan benteng terakhir bangsa Melayu sekiranya masyarakatnya tidak responsif terhadap isu-isu yang mengancam kestabilan sosio-politik Melayu itu sendiri?
GMM juga tertanya-tanya, dimanakah pendirian Persatuan Mahasiswa Hadhari, selaku wadah dakwah Islamiah di kampus ini? Apakah presidennya iaitu saudara Mohd Syafiq Mohmd Khairi tidak mampu untuk bersuara dalam membela Islam yang telah dihenyak kemuliaannya dalam isu IFF dan kebejatan sosial yang semakin membarah dengan Kedatangan Adam Lambert Ke Malaysia? Bukankah peranan PMH adalah menyebarkan Islam kepada masyarakat kampus? Sedarkah saudara, bahawa kebisuan PMH merupakan satu kerugian yang amat besar kepada masyarakat kampus? sindrom Pekak Isu ini merupakan wabak yang turut menular ke kampus-kampus cawangan. Tiada satu pun daripada persatua-persatuan yang bersifat kerohanian yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu sebegini. Malah ada laman-laman blog atau laman sesawang yang tidak dikemaskini. Sesuatu yang amat menyedihkan sedang persatuan-persatuan inilah yang sepatutnya menjadi medium dalam membantu membendung kebejatan sosial dikalangan masyarakat.
Akhir kata, GMM ingin mengajak para pembaca sekalian merenung kembali akan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa. Tidak kira samaada kita pemimpin, mahupun golongan yang dipimpin, kita tetap merupakan anggota masyarakat. Kita punya tanggungjawab terhadap masyarakat. Mungkin kita kurang sedar akan peranan ini kerana kita belum menjadi ibu bapa, pembayar cukai dan sebagainya yang lebih merasai impak terhadap isu-isu sebegini. Tetapi, perlu kita sedar bahawa satu hari nanti, kita bakal mewarisi Negara ini, bakal memikul tanggungjawab yang besar untuk generasi akan datang. Apakah kita sanggup membiarkan anak cucu kita menjadi mangsa terhadap suatu sistem yang sepatutnya boleh diubah dari awal sekiranya kita lebih perihatin? Jawapannya ada di tangan anda kerana GMM yakin bahawa mahasiswa UITM matang dalam berfikir…

Seorang peragawati memperagakan pakaian yang menghina Nabi Muhammad SAW
Adam Lambert, artis gay yang menimbulkan kontroversi