Selamat Datang ke blog GMM

Siapa kami??Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka!

UiTM Seluruh Malaysia

Bersatu demi MATLAMAT yang SAMA. BUKA MATA BUKA HATI.

Perjuangan tidak berhenti disini

Demi masa depan anak-anak kami kelak, kami akan BERSATU memperjuangkan HAK kami.

Siapa kami?

Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka

FREEDOM!!

HAK kita semua

DEMONSTRASI; DIMANA KEUNGGULAN MAHASISWA?

Perkongsian Minda Bersama: ISLAMBOLI @ UITM KEDAH



Sejarah pernah membuktikan bahawa mahasiswa berperanan amat penting dalam usaha memegang tampuk pemerintahan negara dan pembentukan sesebuah negara. Semua pemimpin negara pada hari ini adalah bekas mahasiswa dan mahasiswi. Siswa siswi juga memberikan impak yang amat besar terhadap pemerintahan dan kepimpinan negara. Sebagai bukti, lihat pada zaman Anwar Ibrahim(kini penasihat PKR) sebagai mahasiswa suatu masa dahulu. Bagaimana beliau akhirnya dapat memberi impak yang besar terhadap isu kebuluran masyarakat kedah pada masa itu. Satu lagi bukti kukuh ialah bagaimana Mohamad Sabu(kini AJK PAS PUSAT) pernah dibuang kampus kerana kehandalannya berpidato sehingga boleh menggugat undi-undi Melayu terhadap BN. Yang paling terkesan dalam minda veteran pada masa kini yang juga merupakan satu senario yang senantiasa menghantui kehidupan pemimpin korup pada hari ini ialah peristiwa rampasan kuasa ITM oleh pemimpin pro mahasiswa pada masa itu iaitu Ibrahim Ali(kini ahli parlimen bebas).

Dengan wujudnya situasi-situasi sebegini, maka sedikit sebanyak telah memberi amaran awal kepada kerajaan agar tidak bertindak sesuka hati. Mahasiswa sebenarnya berupaya menggugat kuasa kerajaan dan mampu untuk menumbang dan menaikkan sesebuah kerajaan. Namun, dukacitanya hari ini, kesugulan serta kekusutan pemikiran mahasiswa semakin menjadi-jadi. Siswa siswi kononnya terlalu sibuk dengan kuliah dan tutorannya sehingga tidak ada ruang masa sedikit pun untuk menyumbang bakti kepada perjuangan menegakkan yang hak dan menumpaskan yang batil. Bila diajak ke program itu dan ini, alasannya pun itu dan ini. tambahan pula, pihak kerajaan mengambil kesempatan terhadap kemelesatan pemikiran siswa siswi ini dengan menubuhkan rang undang-undang baru iaitu AUKU. Akta ini kononnya boleh dikenakan kepada para pelajar yang bergiat dalam mana-mana parti politik di luar kampus. Akta ini juga melarang para pelajar daripada memegang apa-apa jawatan dalam parti kerana kononnya boleh menggugat kestabilan diri pelajar itu sendiri. Hal inilah yang telah menjadi punca terhadap kegagalan perjuangan mahasiswa pada hari ini. Siswa siswi lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang lebih tidak berfaedah seperti berasmara di dalam hotel, berdua-duaan dan berpegangan tangan. Malahan, ada juga yang melepak di kelab-kelab malam, menjadi pelacur sambilan, melepak di pusat permainan video serta berniaga jualan langsung. Jelas sekali semua ini jauh daripada isu masyarakat yang patut difikirkan oleh seorang mahasiswa yang berfikrah dan bertanggungjawab.



Acap kali kita dikhabarkan dengan demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik untuk mempertahankan hak ummah dan hak rakyat. Demonstrasi yang bukannya kosong sepertimana yang dianjurkan oleh pemuda UMNO dan AMAN MALAYSIA tetapi demonstrasi yang dimaksudkan ialah demonstrasi memperjuangkan hak dan keadilan rakyat dan ummah. Demo yang membincangkan isu sejagat. Demo yang pastinya dihalang oleh sekumpulan besar polis bertopi merah(FRU). Namun, penonjolan mahasiswa amat kurang dan mengecewakan. Adapun sesetengah aktivis siswa yang turun padang tetapi mereka hanya ibarat orang biasa yang tiada gahnya. Sekadar memetik gambar dan melaungkan slogan beramai-ramai. Sepatutnya, sebarang demonstrasi pada hari ini hendaklah dimulakan dan dipimpin oleh kumpulan mahasiswa itu sendiri. Malahan, demo juga sepatutnya dipimpin oleh orang muda yang berilmu tinggi sepertimana golongan mahasiswa itu sendiri.
Demo pada tahun 1998, menyaksikan kali terakhir golongan siswa siswi berjuang habis-habisan menentang kezaliman. Ketika itu, isu kriket Israel. FRU bertindak kasar sehingga parah kepala beberapa orang siswa dari UM. Sayangnya, kegagahan siswa siswi UM yang dahulu tidak lagi dapat ditonton pada hari ini kerana aktivis mahasiswa UM sudah sibuk dengan kerja-kerjanya yang kononnya lebih penting daripada isu rakyat dan ummah ini. UM yang dahulunya terkenal dengan perjuangan pro mahasiswa kini bertukar tangan kepada pro aspirasi yang bersikap ibarat pahat dengan penukul. Apa sahaja yang diarahkan oleh pentadbiran, itulah yang dia ikut sekalipun perkara yang ingin dilaksanakan itu bertentangan dengan hak-hak mahasiswa. Mengapa boleh bertukar tampuk pemerintahan UM dari Pro Mahasiswa kepada Pro Aspirasi? Muhasabahlah diri-dirimu wahai saudara-saudara seperjuangan dari UM.
Teringat saya pada ceritera seorang pejuang mahasiswa iaitu senior saya yang pernah menuntut di UIA Petaling Jaya pada masa itu. Cerita ini lebih kurang lebih belasan tahun yang lalu. Belum ada lagi kampus Gombak ketika itu. Terdapat satu kumpulan band yang membuat persembahan di dewan besar kampus berkenaan. Pada malam persembahan tersebut, satu demonstrasi diadakan bagi membantah persembahan itu daripada dilaksanakan telah diadakan oleh aktivis siswa yang berfikrah Islamiah. Sayangnya, hari ini, UIA bukan sahaja boleh dimasuki kumpulan-kumpulan band, malahan para penyanyi wanita yang berpakaian seksi dan berkelakuan kurang enak di khalayak. Kemana perginya pejuang-pejuang mahasiswa? Kemana perginya WUFI? Ke mana perginya GAMIS? Kemana perginya Tabligh? Kemana perginya JIM? Kemana perginya PKPIM? Ke mana perginya ABIM? Bukankah kamu semua telah ditarbiah dengan begitu hebat dan dahsyat sekali hinggakan boleh menghadapi cabaran fizikal dan mental yang begitu hebat? Maka sia-sialah kesemuanya.
Terbaru, isu Palestin. Demo pada 9 januari lalu benar-benar menyakitkan hati. Mahasiswa-mahasiswa takut turun ke jalanan kerana FRU? Amat mengecewakan. Hanya segelintir golongan siswa yang berani menegakkan hak ummahnya. Yang lain ke mana? Malahan, siswa-siswa yang mengikuti usrah di bawah pihak penganjur utamanya itu sendiri gagal hadir untuk serta bersama.
Paling hangat ialah isu PPSMI. Berlangsung pada 7 mac lalu. Pemimpin mahasiswa entah dari mana pun saya tak tahu tetapi dari segi intelektualnya, beliau benar-beanr menunjukkan kekenduran kepimpinan seorang mahasiswa Islam dan Melayu. Ucapan yang terliang-liuk. Tidak ada semangat perjuangan. Tidak berjaya membakar semangat juang anak-anak muda dan peserta demo pada hari tersebut. Hanya keranda sahaja yang dapat diusung kesana kemari. Bukan niat saya untuk menghina tetapi sekadar memberi peringatan. Maafkan ana wahai sahabat.




Pada zaman kepimpinan Arab dahulu, pemimpin dipilih mengikut kepetahannya berhujjah dan berbicara. Selain daripada ilmu dan kemahiran serta kegagahan yang ada, kepandaian berpidato merupakan salah satu faktor. Begitu juga hari ini di Mekah. Para khatib dilantik mengikut kepetahannya berpidato dan kegagahannya membakar semangat juang para jemaah sekalipun khatib berkenaan sudah berusia dan buta. Bukannya seperti Malaysia yang berkhutbah ikut teks semata-mata. Mana perginya sunnah Nabi SAW? Sibuk mengatakan khatib di Mekah itu Wahabi, tetapi kamu yang Sunnah itu entah apa-apa. Jangan perlekehkan gerakan Wahabi kerana ia satu perjuangan Sunnah Nabi.

Berdasarkan pengalaman dan tinjauan skuad kami pada 7 mac yang lalu, ketika itu, kami berada di barisan paling hadapan bersama-sama dengan beberapa lagi pejuang siswa dari PKPIM jika tak silap mata memandang. Namun, hanya sekerat sahaja yang berani menjadi benteng pertahanan melawan kekejaman pasukan polis pada masa itu. Kain rentang yang dipegang oleh siswa-siswa berkenaan cuba dirampas oleh pihak polis namun alhamdulillah dengan kuasa ALLAH percubaan polis itu gagal setelah siswa-siswa ini membalas segala pukulan dan ugutan polis berkenaan. Inilah yang membanggakan diri saya apabila melihat keberanian siswa-siswi pada hari ini. Namun begitu, hanya berapa kerat yang boleh dan berani melakukan sedemikian? Secara sahihnya, hanya segelintir. Mungkin daripada 1000 orang mahasiswa, hanya 10 orang sahaja yang berani. Sekembalinya ke masjid negara, kami yang berada di baris hadapan menghala ke istana negara tadi kemudiannya menjadi baris hadapan untuk berpatah balik ke masjid negara memandagkan pihak polis telah menggunakan kuasa tenteranya dan meriam air kimia serta peluru-pelura gas pemedih mata yang banyak tersasar ke atas kepala para peserta demo. Bagi mengelakkan sebarang perkara yang lebih teruk daripada berlaku, saf pimpinan mengarahkan agar berpatah balik ke masjid negara dan berlindung di masjid negara kerana terdapat begitu ramai peserta demo yang terdiri dari kalangan anak-anak kecil dan wanita. Ketika tiba dihadapan pintu masjid, kelihatan sekumpulan mahasiswa yang lari jauh ke atas bukit disebalik masjid berkenaan. Tidak basah dan tidak kotor bajunya, mungkin sekadar terkena tempias-tempias bayu asap gas. Namun, jelas mukanya sudah berubah. Tidak berpakaian putih sepertimana yang dituntut oleh pimpinan. Derhaka! Mungkin kerana ingin menjaga sirr? Atau takut terlalu mudah ditahan dan menjadi mangsa kerakusan pihak Polis? Fikir-fikirlah sendiri saudaraku. Biar takutkan Allah jangan takutkan gas yang pedihnya hanya seketika di dunia.
dalam al-quran telah disebut bahawa: apakah kamu orang beriman sedangkan kamu masih belum diuji?
maka saudara-saudaraku, kalian semua lantang menyebut kalimah ALLAH. lantang berdakwah, tetapi kalian masih belum layak digelar pejuang islam kerana kalian masih belum diuji dengan gas pemedih mata, air kimia, belantan dan perisai polis. kami yang telah diuji ini pula, kalian perlekehkan kononnnya kami pengganas dan tidak bermoral. apakah agenda kalian? saya tidak pernah mengiktiraf sahabat-sahabat saya ini sebagai 'amilin fil islam. bagi saya, hanya seorang dua sahaja daripada beribu pelajar di tempat saya ini yang layak digelar 'amilin fil islam sekalipun mereka tidak berserban dan jarang ke surau. kerna apa mereka layak? kerna mereka telah sinonim dengan perjuangan yang realiti dan bukannya fantasi. mereka telah merasai kepedihan dunia. mereka telah merasai keperitan air kimia. sedangkan sahabat-sahabat lain masih lagi bacul dengan pelbagai alasannya untuk turun ke demo.



ingat!!! Dr Fathi Yakan pernah menyeru para remaja agar bersama-sama turun ke jalanan bagi mendidik dan mentarbiah jiwa remaja agar jangan takutkan insan. hal ini adalah kerana mendidik para remaja dan belia agar boleh menghadapi situasi kezaliman dan melawan kemungkaran di tahap yang teratas.

Maka itu wahai saudara-saudaraku sekampus dan yang sama-sama menuntut di institusi pendidikan, janganlah kita memberi pelbagai alasan apabila hendak turun ke demonstrasi mempertahankan hak kita dan hak masyarakat yang perlu kita bela satu masa nanti setelah menjadi pemimpin. Ingat!!!demonstrasilah yang akan mentarbiah kita secara spiritual dan keseluruhan diri. Semasa demo lah yang akan menguji kita setakat mana iman dan ketahanan kita dalam memperjuangkan Islam dan keadilan. Demonstrasi jugalah yang akan membentuk perpaduan dan ukhuwah antara para pejuang. Demo juga lah yang akan melatih kita untuk berhadapan dengan golongan-golongan batil yang akan menentang perjuangan yang haq. Demonstrasi juga berupaya memberi pengajaran dan didikan kepada masyarakat luar tentang erti perjuangan. Demo juga berupaya menimbulkan kegerunan dalam diri para musuh apabila melihat kesatuan ummah yang padu dan tekad turun ke jalanan mempertahankan haq dan menumbangkan batil. Allahuakbar!!!

PILIHANRAYA KAMPUS UITM SHAH ALAM 2010





Jika mantan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, saudara Mohd Mursyidi b. Mohd Diah pernah menjadi nakhoda kepada mahasiswa, menggalas tanggungjawab besar membawa nama UiTM ke merata-rata bagaimana pula dengan pengganti kerusi Yang DiPertua terbaru kita? Sesekali terdengar suara-suara berkata “Buat apa pergi mengundi kalau yang bertanding setakat pro Aspirasi?”.

28 Januari 2010 mencatatkan sekali lagi sejarah di UiTM Shah Alam apabila berjaya mengadakan Pilihan Raya Kampus secara e-voting sekaligus menampilkan pelapis-pelapis pimpinan terbaru dalam UiTM. Berbekalkan semangat kepimpinan, calon bagi setiap fakulti bertanding secara matang dan profesional sekali tanpa menimbulkan sebarang permasalahan besar. Poster-poster serta risalah calon diedar ke sekitar fakulti namun kemeriahannya..dilihat tidaklah seberapa berbanding universiti tempatan lain. Mungkin tanpa kehadiran calon pembangkang, pro Mahasiswa menyebabkan suasana PRK dilihat bagai tiada apa-apa. Seminggu berkempen, hanya warna-warni poster bergantungan dicelah-celah bangunan dan pokok diselangi kempen dari bilik kuliah ke bilik kuliah bertemankan ‘Campaign Manager’. Ada juga pamplet-pamplet calon diedar, tidak kurang yang membahagi-bahagi gula-gula, sekadar mengambil hati pengundi untuk mengundi. Namun, sejauh manakah kessedaran mereka untuk mengundi? Adakah kerana tiadanya pro Mahasiswa, UiTM begitu lesu dalam PRK nya?





Melihat kepada YDP terbaru saudara Ridzwan b. Salleh, mungkin ramai yang tidak menyangka alumni Cawangan UiTM Jengka, Pahang yang sebelum ini langsung tiada pengalaman berada dalam Majlis Perwakilan Pelajar di universiti mampu memberi pembaharuan dalam UiTM Shah Alam. Adakah saudara Ridzwan sekali lagi ingin mengulang sejarah yang sama, mengulangi kerja-kerja YDP sebelumnya atau terselit dalam pemikirannya seribu cara membangunkan lagi kredibiliti dan wacana ilmu mahasiswa? Cara pimpinan dan pemikiran beliau nanti adalah merupakan pantulan dan cermin kepada keberhasilan program-program 1Malaysia, Biro Tatanegara dan sebagainya yang menelan peruntukkan jutaan Ringgit Malaysia rakyat Malaysia.

Calon-calon yang mendapat kemenangan terdiri daripada tapisan-tapisan melalui program-program yang kerap kali diadakan. Menunggu-nunggu kopi panas tiba ke meja, pernah GMM terdengar satu adunan bicara sesama mahasiswa..”Diorang masuk bertanding untuk keje ngan HEP jeke..bukan bawa suara pelajar?” GMM tertanya-tanya. Maksud disebalik kata-kata pelajar tersebut. Bukankah MPP baru dilantik untuk memudahkan kerja pengurusan HEP justeru memudahkan masalah mahasiswa dibawa ke meja pengurusan? Persoalannya disini, madah-madah tersebut dikeluarkan kerana pincang institusi pengurusan HEP atau kalangan mahasiswa tersangat kurang informasi tentang Majlis Perwakilan Pelajar? Atau mereka sekadar membawa kata-kata orang lain yang lebih lidah dari rasional? Atau mereka sangat jauh dari MPP sebelumnya hingga menganggap MPP sekadar majlis perwakilan biasa-biasa sahaja.





Seminggu. Lebih. Cuba kita perhati corak dan budaya PRK UiTM yang cukup berlainan dengan PRK universiti tempatan lain. Tiada himpunan besar-besaran, tiada ‘open-talk’ besar-besaran dihadapan semua pelajar, hanya seminggu kempen diadakan, peruntukkan berjumlah kira-kira RM500 hanya kepada gambar, risalah, poster, belanja penggantung poster..cukup tidak melihatkan semangat PRK. Tidak perlu membazir, jawapan yang bernas sekali. Namun, jika semangat itu ada, gema PRK pasti dapat dilihat pada wajah-wajah mahasiswa.
Sekali lagi, adakah kerana tiadanya calon pro Mahasiswa yang bertanding seperti universiti tempatan lain? Kesan lesu, tanpa penglibatan sepenuhnya mahasiswa dalam PRK, lihatlah calon-calon yang telah menang dalam bertanding. Cuba kita kaji, betapa matang pengundi dalam memilih calon-calon yang benar-benar berkepimpinan dalam universiti. Jika di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, mungkin hanya rupa menjadi taruhan. Fakulti Sains dan Perubatan mungkin akademiknya menjadikan pilihan utama. Bagaimana pula dengan pengaruh mantan-mantan MPP yang berat sebelah dalam membantu kempen. Mantan-mantan lebih suka menjaja nama-nama calon yang banyak membantunya dalam kerja. Rapat dan mesra. Begitu juga dengan pengaruh persatuan dalaman. Pasti calon pilihan yang sedap mata memandang akan dipilih. Disini dapat dilihat betapa calon mengharapkan pengaruh-pengaruh orang-orang tertentu dalam mencapai kemenangan. Bakat kepimpinan akan diasah selepas ditabalkan, seiring dengan gerak kerja. Oh, jadi benarlah pemenang-pemenang PRK kali ini tidak cukup berkepimpinan? Jadi, adakah kemenangan mereka atas keyakinan pengundi atau kerana pengundi sudah tiada pilihan lagi. Persoalan yang tak seberapa besar, namun impaknya pada barisan MPP terbaru ini, YDP baru sekadar tangkap muat kerana barisan-barisan pemenangnya sudah ketandusan mahasiswa hebat-hebat.




Usah diguna istilah PRK aman damai di UiTM tetapi gunalah istilah PRK lesu di UiTM. Jika universiti lain gempak dengan kisah kotak undi dibawa keluar universiti, ‘server down’ kira-kira 1 jam dalam e-voting, calon dilarang bertanding kerana berkempen melalui Facebook kerana disyaki berbau kepartian, calon-calon berlainan bangsa berhimpun besar berkempen, suara bising berteriak melaung-laung kata-kata semangat kepada calon, warga UiTM Shah Alam tiada kisah-kisah tersebut. Tiada cabaran dan proses mematangkan mahasiswa keseluruhannya.
Ini bukan kehidupan kampus yang sebenar-benarnya. Bukan membawa amarah, berkata tanpa alas atau menempelak tanpa sedar diri, tetapi mahu sama-sama membuka pemikiran kotak. Usah terlalu merasa tenang jika masih belum mahu hadapi makna hidup yang sebenar.

MEMBANGUN ATAU MERAKYAT PEMIKIRAN GLOKAL?


Disumbangkan Oleh: Pena Puteh Persatuan Islam UiTM
Mampukah generasi baru UiTM mengorak langkah dalam berdaya saing bagi mencapai matlamat wawasan 2020 justeru pelbagai ancaman mundar-mandir,senyap-senyap menghakis nilai agama dan budaya Melayu kita. Kesannya amat mudah dilihat. Pemakaian, gaya hidup, pergaulan malah cetusan-cetusan para pemikir yang terlalu radikal mengharu-birukan lagi masyarakat. Masyarakat kampus adalah merupakan aset terpenting dalam membantu menghalang kemudharatan masyarakat daripada berterusan. Piramid kampus yang terdiri daripada semua peringkat anggota masyarakat perlu menggembleng tenaga, membina pertahanan akidah dan berusaha bergerak maju tanpa meninggalkan aset agama dan budaya yang berharga.
Duduk mencelah ditepi batu,
Mengintai anak dara menyiram bunga,
Jika nak capai wawasan 2020 yang satu,
Pembentukan mahasiswa kampus itulah jawapannya.
Tapi bagaimanakah caranya untuk membentuk mahasiswa bertaraf dunia yang patuh pada agama dan halus pekerti budayanya? Sudah diasuh dan ditegas sejak kecil lagi dengan rukun agama, rukun negara serta rukun kemasyarakatan namun kerana era globalisasi tanpa tapisan menyebabkan warna-warna indah mahasiswa muslim bertukar kabut jadinya. Masakan timbul persoalan sexcalls, onani, couple, rokok dan dadah, clubbing, mencuri soalan dan jawapan peperiksaan pensyarah jika tidak kerana lompangnya jatidiri mahasiswa sendiri.
Maal Hijrah dan Tahun Baru silih berganti. Angka tahunnya semakin bertambah.1431 dan 2010 bakal melewati 1430 dan 2009. Mahasiswa yang baru melangkah perlu bersedia mendapat pelbagai perkara baru ditempat baru. Sudahkah mereka diadun dalam acuan yang selaras dengan permintaan semasa tanpa mengenepikan aspek agama? Atau sekadar berbekal keputusan akademik semata. Harus dibuka mata mahasiswa, hidup didunia bukan untuk akademik semata tetapi sedar hakikat besar hidup mereka untuk menjunjung agama dan negara.
Mahasiswa tidak perlu risau kerana pihak kampus pasti sudah merancang pelbagai program yang hebat-hebat yang mana pasti mampu membangun mahasiswa glokal malah memperkasakan lagi identiti mahasiswa dikaca mata dunia. Dibimbing pihak pentadbiran kampus bersama curahan keringat Majlis Perwakilan Pelajar berserta kerjasama erat persatuan dalaman, program-program bermanfaat pasti dapat direalitikan. Namun begitu, penekanan kearah merakyatkan pemikiran glokal perlulah selaras dengan pembangunan pemikiran glokal.
Seluruh masyarakat kampus tidak harus terlepas pandang akan soal merakyatkan pemikiran glokal. Ini bermakna setiap individu kampus wajib turut serta dalam merakyatkan pemikiran glokal mengikut kemampuan masing-masing. Jika hanya sebilangan warga kampus sahaja terlibat dengan program-program bermanfaat maka sukarlah mahasiswa idaman dapat direalisasikan. Perancangan awal dan teliti mestilah dilakukan. Harus ditegaskan, tidak sempurna perancangan last minute dan menangguh. Budaya ini harus dihapuskan segera. Disamping itu juga, perlu dijauhkan virus lebih nakhoda dalam sebuah kapal. Ketua perlulah ditaati, ditegur dengan baik jika salah, diguling jika berterusan degil melanggar batas agama dan undang-undang.

Mahasiswa baru perlu peka dengan situasi semasa. Mungkin suasana baru menyebabkan mahasiswa mencari-cari platform yang sesuai. Rujuklah kepada pimpinan anda. Makmurkan masjid, surau-surau kolej dan tempat tinggal kerana tiada tempat asas yang lebih afdhal dalam membina jatidiri justeru membangun dan merakyatkan pemikiran glokal melainkan ditempat berkumpulnya orang-orang soleh. Hapuskan pemikiran lama bahawa tujuan utama mahasiswa dalam universiti hanya dalam berakademik tetapi beranilah mengubah diri menjadi pemikir-pemikir agung. Korek ilmu sedalam-dalamnya disamping memperbanyak interaksi sesama masyarakat dan disitulah mahasiswa pasti dapat mengkoreksi diri masing-masing. Tujuan hidup bukan hanya sekadar belajar, mengajar, berhibur dan seanteronya robot tetapi lebih dari itu.
Selamat menjalani hidup baru buat mahasiswa baru dan kepada mahasiswa lama jadilah mahasiswa yang lebih baik dari semalamnya setiap hari. Kejayaan bukan semata didunia tetapi akhirat tujuan utama semua..!

KOSONG

Kosong. Tiada sebarang pengisian. Tiada apa-apa. Teroponglah dari mana-mana sudut, pasti tak akan kelihatan sebarang benda. Betul atau tidak jika kita mengibaratkan sebuah bekas yang kosong tiada terisi dengan apa-apa?
Salah. Bekas itu juga terisi dengan udara. Jika bekas itu tiada apa-apa maka ia akan dipanggil bekas vakum.Bukan bekas kosong. Tetapi..adakah kita bisa menganalogikan bekas kosong itu untuk hati yang kosong?

Boleh. Cuba kita fikir bersama-sama, hati kosong diibarat bekas yang kosong. Bekas kosong masih mempunyai udara, begitu juga hati kosong yang mungkin terisi sedikit pengisian murah hati atau niat baik. Jika bekas kosong terisi dengan oksigen, karbon dioksida dan makronutrien lain pasti hati kosong juga mempunyai campuran pelbagai baik, buruk, syubhah dan sebagainya.

Semakin dewasa dan meningkat umur kita, semakin membesar hati kita seiring amalan setiap hari. Pastikah kita hati kita dipenuhi perkara yang baik, bukan karat-karat hitam? Sedari celikan mata yang pertama, hati mula dijajahi pelbagai macam perkara. Halal haram suapan susu ibu yang pertama diambil kira kerana disitu bermulanya punca titik hitam dihati manusia. Sudahnya, jika permulaan dan sepanjang proses membesar punca makan, minum dan sebagainya adalah haram maka karat hitam menjadi pekat. Tambah likat jika tiada usaha membersihkannya sejak awal. Berkarat, tiada penyucian dan kurang pengisian hati..maka bercecerlah syaitan, sumber-sumber kemunafikan, maksiat, nafsu dan kafir laknatullah berebut memasuki dan bertempek dihati. Cahaya jadi susah nak masuk. Benteng hati jadi tidak kukuh, akhirnya pencerobohan berlaku. Fitrah Islam dan sucinya hati akan dicemar dan dirosak.

Hati kosong. Kurang penyucian dan pengisian oleh Al-Quran, hadis, nasihat alim ulamak dan ilmu. Syaitan dan jin pasti menjadi mudah untuk memasuki. Jangan hairan jika banyak berlaku kejadian pelajar siswi dan kadang-kadang siswa dirasuk dan merasuk. Ramai mengadu ditindih, menindih dan terlihat makhluk pelik alam lain. Makhluk-makhluk lain juga akan segan malu nak mengacau jika tahu hati kita bersih dan terisi dengan pengisian bermanfaat. Ini tidak, lepas ditindih, dirasuk barulah nak merangkak baca Yasin dan cari alim ulamak berubat. Selepas orang alim suruh buat pengisian hati, baru sedar selama ini kosong rupanya hati. Baru sedar atau selama ini sedar tapi buat-buat tidak sedar? Berbuih alim ulamak, ustaz ustazah menasihat tapi kita buat tak endah, keras hati. Tunggu Allah bagi hidayah katanya. Kita tahukah umur kita masih panjang dan Allah akan beri hidayah..? Jika umur tidak panjang dan kita langsung tiada dalam senarai hamba yang bakal diberi hidayah, macamana jadinya? Jadilah manusia yang rugi. Sesal dalam kubur tak sudah-sudah.

Hati perlulah di’update’ sentiasa. Setiap masa dan setiap hari. Tanda hati itu tidak mati adalah apabila melihat keindahan, menerima kebahagiaan mahupun kesukaran..Allah tetap diingati. Setiap yang dating kepada kita mampu membuatkan kita rasa ingin semakin mendekati Allah. Ayat Al-Quran jadi bacaan setiap hari, isinya dimanfaat dan pembawakannya dijihad. Hati yang hidup terisi dengan zikir, kata-kata manis buat manusia dan jauh dari hasad, salah sangka buruk dan hatinya sentiasa memuhasabah diri sendiri. Sekilas melihat pasti merasakan betapa berat dan sukarnya untuk membersih dan menjaga kesucian hati. Namun kita semua maklum, lebih-lebih lagi bagi mahasiswa yang sudah bercita-cita untuk hidup berdua..tinggi maharnya untuk memiliki insan impian, bukankah begitu? Insan tersayang yang tidak pasti suci tidak hatinya..inikan pula mahar untuk memiliki hati yang suci. Pasti usaha dan tenaga perlu melebihi harga mahar kepada insan tercinta.

Renung-renungkan sejenak, sambil-sambil makan di kafe UiTM anda yang sudah mula memansuhkan penggunaan polisterin sebagai bekas makanan!

FORUM NOW! http://mahasiswamerdeka.aimoo.com/

E-VOTING:Satu Sistem atau suatu perancangan?




Umumnya, seluruh Malaysia mengetahui sudah ada kampus yang menggunakan sistem e-voting dalam pilihanraya kampus sebelum ini.
Kononnya, untuk selari dengan pembangunan sistem ICT Malaysia dan dalam mempercanggih sistem yang sedia ada e-voting dianggap sistem yang relevan
dalam pilihanraya kampus. Semua yang terlibat pasti menjangkakan sistem ini pasti akan membuatkan pilihan raya lebih teratur dan pelbagai kelebihan ada pada e-voting. Mempunyai sedikit persamaan dengan sistem manual-voting, untuk memilih dan mengundi calon pelajar dikehendaki mengambil angka giliran dari petugas setelah nama pendaftar disenaraikan untuk mengundi.


Tempat mengundi mestilah tertutup dan undi adalah rahsia. Pengawal keselamatan dimana-mana dan pegawai petugas senyum menyambut mesra disamping calon-calon manis melontar manifesto masing-masing. Tamat sesi mengundi, hasil undian dibawa ke pusat mengumpul undi. Bagai si bapa menanti kelahiran bayi pertama, calon bersama-sama wakil mereka berdebar menunggu keputusan di layar skrin. Kiraan undi adalah secara automatic dan mana mungkin komputer bisa menipu keputusan melainkan system itu memang asalnya sudah dimanipulasi. Begitulah kitaran pilihanraya menggunakan sistem e-voting.
Sekilas pandang kita sendiri dapat melihat, e-voting adalah merupakan sistem mesra pelajar yang bukan hanya menjimatkan masa pelajar serta petugas, ia turut memudahkan pengiraan, menjimatkan kos dan seperti tidak banyak kerenah. Namun begitu, tidakkah mahasiswa terfikir sistem e-voting ini bakal merubah sesuatu dalam negara Malaysia kita? Sudah tentu arena politik masyarakat Malaysia!
Percaya atau tidak pilihanraya kampus itulah sebenarnya merupakan akar umbi masa depan sistem pilhan raya Malaysia yang mendatang. Kita mungkin akan melihat kesannya dalam jangka masa beberapa tahun terkedepan setelah menggunakan secara berterusan sistem e-voting ini dalam universiti. Bukankah mahasiswa sedia ada sekarang bakal mengundi ahli politik mereka pada masa hadapan? Harus diingat diluar sana, mahasiswa bukan lagi mengundi dengan e-voting tetapi manual-voting. Jadi kenapa harus mahasiswa didedahkan dengan e-voting yang nyata berlawanan dengan sistem pilihanraya biasa Malaysia? Diasuh atau dibasuh dengan sistem e-voting universiti, tidakkah pendoktrinan e-voting sejak umur kampus akan membuatkan penerimaan e-voting dalam pilihanraya Malaysia sebenar akan dapat diterima akhirnya? Jika e-voting terus diterima dan kelompangan sistem ini dikatakan boleh dibaiki diperhalusi, namun sejauh manakah ketelusan keputusan pilihanraya diperoleh untuk pilihanraya akan datang? Setelah e-voting diterima dalam kalangan universiti, tiadakah persoalan baru mengapa ia tidak boleh diterima untuk pilihan raya umum Malaysia nanti? Perlu jelas, mahasiswa inilah yang bakal menggantikan ayah-ayah,ibu-ibu, datuk nenek mereka yang sudah tua untuk mengundi calon pemimpin masa hadapan. Gabungan Mahasiswa Merdeka percaya lama-kelamaan manual-voting akan bergalang ganti dengan e-voting. Ini sudah tentu disebabkan diskritnya e-voting menyusur masuk kedalam pemahaman mahasiswa pengganti tunggak negara sekarang.

Berfikir dan bertindaklah dengan memikirkan insentif jangka masa panjang untuk menstabilkan lagi sistem politik negara kita. Usah terlalu mengambil kira perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan untuk manual-voting. Kita semua tahu tidak ada pilihanraya sebenar yang tidak menelan belanja yang besar. Berjimatlah dengan tidak menabur wang kepada hiburan konsert lagu, parasit yang menepis kemuliaan akhlak mahasiswa secara halus itu. Lakukan sahaja manual-voting seperti biasa. Dedahkan mahasiswa kepada sistem pilihanraya yang sebenar. Gabungan Mahasiswa Merdeka bukannya hendak menuduh pihak tertentu merancang e-voting untuk mengubah sistem pilihanraya Malaysia tetapi apabila memikirkan sistem e-voting ini sedikit-sebanyak menjadi virus berbahaya kepada masa depan politik Malaysia, maka kami terpanggil untuk sama-sama membuka minda mahasiswa dan seluruh pihak terbabit. Berfikirlah dengan lebih kreatif dan tidak salah menuntut supaya e-voting dihapuskan lantaran sistem ini lebih bersifat virus ancaman politik.