Terkini.. Isu MH370.

Assalamua'laikum wbt,  Semalam dunia telah menyaksikan satu sidang media yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkaitan dengan isu MH370. Ini merupakan petikan daripada ucapan beliau yang memberi 1001 kesedihan kepada seluruh warga yang prihatin akan isu ini.


" Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan.

Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat  MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini.

Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan;  saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini. "

 

Kami daripada team Gabungan Mahasiswa Merdeka mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak kapal MH370. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Panglima Hishammuddin Tun Hussein, pemangku Menteri Pengangkutan dan seluruh warga kerja operasi mencari dan menyelamat yang bersengkang mata untuk tetap terus memberi perhatian kepada isu MH370 walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.


Al Fatihah kepada keluarga yang beragama Islam.

pesanan Admin: Kepada yang masih menyebarkan spekulasi, mencipta kisah sendiri, letakkan diri anda seketika ditempat mereka yang diuji. Seluruh dunia berkabung dengan berita ini, namun jangan dilupakan 529 penyokong Dr Mursi yang dijatuhkan hukuman mati tanpa perbicaraan yang adil di Mesir. 700 lagi akan dibicarakan hari ini. Moga-moga sempadan negara tak membuat kita melupakan bahawa mereka adalah saudara seaqidah dengan kita. 


GMMprihatin
GMM; Cakna Dunia Sebenar

Reactions:

1 comment:

  1. buat pertama kali aku bersetuju dgn gmm, terlalu menghentam sehingga tak nampak kebaikan org lain, bukanlah benda yg baik. nabi tak ajar semua tu

    ReplyDelete