KOSONG

Kosong. Tiada sebarang pengisian. Tiada apa-apa. Teroponglah dari mana-mana sudut, pasti tak akan kelihatan sebarang benda. Betul atau tidak jika kita mengibaratkan sebuah bekas yang kosong tiada terisi dengan apa-apa?
Salah. Bekas itu juga terisi dengan udara. Jika bekas itu tiada apa-apa maka ia akan dipanggil bekas vakum.Bukan bekas kosong. Tetapi..adakah kita bisa menganalogikan bekas kosong itu untuk hati yang kosong?

Boleh. Cuba kita fikir bersama-sama, hati kosong diibarat bekas yang kosong. Bekas kosong masih mempunyai udara, begitu juga hati kosong yang mungkin terisi sedikit pengisian murah hati atau niat baik. Jika bekas kosong terisi dengan oksigen, karbon dioksida dan makronutrien lain pasti hati kosong juga mempunyai campuran pelbagai baik, buruk, syubhah dan sebagainya.

Semakin dewasa dan meningkat umur kita, semakin membesar hati kita seiring amalan setiap hari. Pastikah kita hati kita dipenuhi perkara yang baik, bukan karat-karat hitam? Sedari celikan mata yang pertama, hati mula dijajahi pelbagai macam perkara. Halal haram suapan susu ibu yang pertama diambil kira kerana disitu bermulanya punca titik hitam dihati manusia. Sudahnya, jika permulaan dan sepanjang proses membesar punca makan, minum dan sebagainya adalah haram maka karat hitam menjadi pekat. Tambah likat jika tiada usaha membersihkannya sejak awal. Berkarat, tiada penyucian dan kurang pengisian hati..maka bercecerlah syaitan, sumber-sumber kemunafikan, maksiat, nafsu dan kafir laknatullah berebut memasuki dan bertempek dihati. Cahaya jadi susah nak masuk. Benteng hati jadi tidak kukuh, akhirnya pencerobohan berlaku. Fitrah Islam dan sucinya hati akan dicemar dan dirosak.

Hati kosong. Kurang penyucian dan pengisian oleh Al-Quran, hadis, nasihat alim ulamak dan ilmu. Syaitan dan jin pasti menjadi mudah untuk memasuki. Jangan hairan jika banyak berlaku kejadian pelajar siswi dan kadang-kadang siswa dirasuk dan merasuk. Ramai mengadu ditindih, menindih dan terlihat makhluk pelik alam lain. Makhluk-makhluk lain juga akan segan malu nak mengacau jika tahu hati kita bersih dan terisi dengan pengisian bermanfaat. Ini tidak, lepas ditindih, dirasuk barulah nak merangkak baca Yasin dan cari alim ulamak berubat. Selepas orang alim suruh buat pengisian hati, baru sedar selama ini kosong rupanya hati. Baru sedar atau selama ini sedar tapi buat-buat tidak sedar? Berbuih alim ulamak, ustaz ustazah menasihat tapi kita buat tak endah, keras hati. Tunggu Allah bagi hidayah katanya. Kita tahukah umur kita masih panjang dan Allah akan beri hidayah..? Jika umur tidak panjang dan kita langsung tiada dalam senarai hamba yang bakal diberi hidayah, macamana jadinya? Jadilah manusia yang rugi. Sesal dalam kubur tak sudah-sudah.

Hati perlulah di’update’ sentiasa. Setiap masa dan setiap hari. Tanda hati itu tidak mati adalah apabila melihat keindahan, menerima kebahagiaan mahupun kesukaran..Allah tetap diingati. Setiap yang dating kepada kita mampu membuatkan kita rasa ingin semakin mendekati Allah. Ayat Al-Quran jadi bacaan setiap hari, isinya dimanfaat dan pembawakannya dijihad. Hati yang hidup terisi dengan zikir, kata-kata manis buat manusia dan jauh dari hasad, salah sangka buruk dan hatinya sentiasa memuhasabah diri sendiri. Sekilas melihat pasti merasakan betapa berat dan sukarnya untuk membersih dan menjaga kesucian hati. Namun kita semua maklum, lebih-lebih lagi bagi mahasiswa yang sudah bercita-cita untuk hidup berdua..tinggi maharnya untuk memiliki insan impian, bukankah begitu? Insan tersayang yang tidak pasti suci tidak hatinya..inikan pula mahar untuk memiliki hati yang suci. Pasti usaha dan tenaga perlu melebihi harga mahar kepada insan tercinta.

Renung-renungkan sejenak, sambil-sambil makan di kafe UiTM anda yang sudah mula memansuhkan penggunaan polisterin sebagai bekas makanan!

FORUM NOW! http://mahasiswamerdeka.aimoo.com/

1 comment:

  1. hati yang cantik molek dicipta disamakan dengan bekas plastik ke? boleh ke gitu?

    ReplyDelete