Wa’CAKNA’ Ilmu



Mengambil kata pepatah lama “berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian”. Mana mungkin orang tua kita menjadikan pepatah ini sebagai pesanan jika tidak ada pengalaman dari masa silam untuk diturunkan kepada anak cucu mereka. Impak kerana tidak mengambil pepatah ini sebagai nasihat keramat dari orang tua, maka kita sendiri dapat melihat jelas sudah terpampang bukti dimana-mana. Waima dalam sekitar universiti di Malaysia. Mahasiswa sekarang tidak cukup cakna dan kurang berusaha menuntut ilmu.

Mahasiswa seolah-olah dimanipulasikan oleh diri mereka sendiri lantaran ceteknya ilmu. Malu untuk mengatakan terdapat segelintir mahasiswa, tidak mampu menjadi pemimpin jika diberi sesuatu jawatan. Institusi jadi goyah dan lembap jika dipimpin mereka. Mana mungkin dengan sekadar menghadap buku pelajaran dan terlibat dalam program yang tidak membina dapat melahirkan pemimpin negara. Jangan pasakkan dalam pemikiran yang mahasiswa tidak mampu menjadi pemimpin utama. Tetapi bina dan tanamkan pemikiran bahawa setiap mahasiswa kita mampu memimpin dan berani mengambil tanggungjawab dalam berorganisasi. Melihat situasi mahasiswa sekarang, mereka kebanyakannya dilihat hanya mampu menjadi pengikut kepada keadaan semasa. Siswi dengan perubahan fesyen semasa. Menjadikan hiburan Barat sebagai sajian jiwa dan jika lebih teruk mengagung-agungkan hasil seni merapu liberal Barat durjana. Mahasiswa yang mabuk bercinta pula asyik mengikut meniru cara cinta Barat yang biasanya mencemarkan kesucian maruah dan keturunan. Nah, itulah tanda ceteknya ilmu dan jati diri mereka tidak ada!
Adakah mahasiswa sekadar mendefinisikan ilmu sebagai matapelajaran dalam kuliah semata? Ah..dalam kuliah pun macam Pak Kodok duduk bertapa. Tunggu disuap pensyarah. Bertanyakan soalan pun payah. Bukti minda mereka tidak diguna sebaiknya. Jika ada yang berpendirian sedemikian, pasti generasi datang hancur teruk kehidupannya. Berapa kerapkah perpustakaan jadi gedung ilmu mereka? Atau sekadar masuk ketika menyiapkan kertas kerja dan lebih teruk berdua-duaan membuka buku sambil berbalas pandangan mata! Hanyut sungguh kamu mahasiswa..jika Muhammad al-Fateh dulu ketika umurnya 21 tahun sudah mampu memimpin 200,000 tentera menawan Constantinan, mahasiswa kita berumur 21 tahun sekarang cuma mampu memimpin nafsu sendiri..itupun sering terngadah. Sebentar lagi ada yang ternganga..negara mana pula Constantinan tu? Negara Turki la mahasiswa ku..
GMM lebih bersikap terbuka dalam menghuraikan maksud ilmu itu. Ilmu itu tidak ‘rigid’ kepada pembelajaran dari seorang guru semata. Ilmu itu sebenarnya adalah ilmu apabila minda dan fikiran kita berfikir setelah satu atau lebih daripada 5 anggota menemui sesuatu perkara. Analogi kecil, seperti mahasiswa berjalan ditepi jalanan dan melihat jalan raya berturap yang tidak rata. Fikirannya bertanya mengapa jalan tidak rata? Jawapannya akan dicari dalam buku, internet, bertanya guru atau sinis bertanya kawannya yang kursus Kejuruteraan “Senior korang tak reti buat jalan ek, aku tengok caca-merba je jalan dalam UiTM tu..” Inilah dikatakan proses ilmu. Tetapi berapa ramaikah mahasiswa kita yang mampu sentiasa dalam ilmu saban hari hidupnya? Kebanyakannya tidak ambil tahu melainkan kerana tak ada dalam silibus fakulti.


Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran dan surah Al-‘Alaq jadi surah pertama diturunkan. Bacalah. Ambil pengajaran dari sirah junjungan. Penekanan ilmu dan membaca sudah lama dibicara dan Islam sangat tekankan. Janganlah terlalu leka dengan dunia ciptaan sendiri..mahasiswa. Bacalah walau sedikit dalam sehari. Gudang ilmu adalah buku. Mahasiswa mungkin akan berubah dan mengalami revolusi setelah negara dijajah secara fizikalnya. Walaupun kenyataannya, mahasiswa sudah dijajah secara diskrit dan halus tanpa sedar. Apatah lagi hiburan melalaikan subur tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Media massa seolah-olah terlalu menghiburkan dan seperti turut sama memusnahkan generasi baru kita. Sama-samalah pemimpin mahasiswa, membantu golongan mahasiswa yang sedemikian. Orang buta kita tunjukkan jalan, rabun kita berikan penawar eye-mo, yang degil dan buta hati kita pakat-pakat kerjakan. Maksud GMM, dengan berhikmah. Sekali lagi, duduk lah semeja dengan kesemua persatuan dalaman universiti anda untuk berbicara dan tidak lagi menjadi retorik dalam memimpin anak bangsa. Semoga GMM dapat melihat lagi bangkitnya seorang insan baru seperti Muhammad al-Fateh..!

0 comments:

Post a Comment