Syiah pada
mulanya merupakan satu puak di zaman sahabat yang menyokong sayyidina Ali untuk
menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Pada awalnya gerakan
syiah ini lebih kepada bersifat politik tetapi terjerumus kepada isu akidah
selepas kewafatan sayyidina Hussein di karbala. Pengaruh syiah semakin merebak
dan membentuk satu kefahaman mazhab dan akidah. Isu akidah timbul apabila
wujudnya taksub dan penglabelan yang tidak baik kepada para sahabat nabi.
Syiah
sebenarnya telah lama bertapak di muka bumi Malaysia melalui hasil sebaran oleh
golongan pendakwah arab yang datang ke Tanah Melayu dan bermazhab syiah
zaidiah. Syiah Zaidiah merupakan syiah yang paling hampir dengan sunni
disebabkan fekah mereka yang hampir sama dengan mazhab Syafie justeru
mendatangkan kesukaran untuk membezakannya.
Syiah pada zaman sekarang yang dianggap benar-benar
boleh dibawa berbincang di dalam proses taqrib adalah Zaidiah.(Proses
taqrib adalah satu pendekatan antara sunni dan syiah). Adapun Imamiah Isna
‘Asyar, ulamak khilaf. Kebanyakan daripada para syeikh Al-Azhar mengambil
pendekatan yang wasatiah (pertengahan) mengatakan mereka
dikalangan mu’tadil (masih boleh diajak berbincang dalam
proses taqrib).
Antara ulama' yang berpendapat sedemikian seperti Syeikhul Azhar Mahmud
Shaltut, Mufti Mesir Syeikh Nuruddin Ali Jumaat, Syeikh ‘Atiah Saqar, Syeikh
Yusoff al-Qardhawi, Syeikh Ibrahim al-Bayumi dan lain-lain.
Namun
ada juga pendapat yang lebih keras mengatakan Imamiah Isna ‘Asyar ini telah
keluar daripada Islam kerana sampai kelampauan mereka kepada sahabat-sahabat
Nabi, berpegang kepada pentahrifan(ditokok tambah) Quran,
merendahkan martabat Rasul, menolak dan tidak berhujjah dengan sebahagian besar
hadith-hadith sahih melainkan yang selari dengan aqidah mereka, mempercayai
imam mereka maksum sebagaimana Rasulullah, menyangka imam mereka belum wafat
lalu diangkat oleh Tuhan dan akan diturunkan sebagai Imam Mahdi kelak, imam
mereka mengetahui perkara-perkara ghaib dan lain-lain.
Pendapat kedua ini
kebanyakannya dipegang oleh ulama-ulama yang berfahaman Salafi antaranya Ibn
Taimiyyah, ibn Qayyim al-Jauzi, Abdullah bin Abd Wahab, Mufti Saudi Syeikh
Muhammad bin Ibrahim Syeikh al-Bani dan lain-lain.
Kesan
revolusi Islam Iran di Malaysia
:-
Tidak dapat tidak kita kena akui bahawa kesan revolusi islam Iran 1978 sedikit
sebanyak telah mempengaruhi gerakan islam dan anak muda pada waktu itu.
Kezaliman Shah Iran berjaya ditumbangkan oleh majoriti rakyat Iran yang mahukan
pemerintahan islam. Iran di waktu ini dilihat sebagai idola oleh sesetengah
ahli gerakan islam di Malaysia. Tetapi kita kena sedar bahawa hanya semangat
revolusi dan strategi politik itu sahaja yang diambil bukan akidah Syiah yang
jelas menyimpang dari akidah ahli sunnah wal jamaah.
Antara
mazhab dan politik antarabangsa
:-
Sekarang ini
kita dimomokkan dengan pertembungan antara sunni dan syiah di hampir setiap
krisis yang berlaku di dunia. Kita kena bijak membezakan antara persoalan
mazhab dengan persoalan politik antarabangsa. Ini merupakan dua persoalan yang
berbeza. Hal ini amat sukar di lakukan disebabkan byknya org jahil dikalangan
sunni dan syiah. Mereka selalu terjerumus dalam kancah mazhab apabila berbicara
tentang krisis antarabangsa. Krisis antarabangsa menjadi mustahil untuk
dileraikan berikutan bersangkut paut dengan persoalan mazhab yang sudah
mencecah 1300 tahun lamanya. Hal ini menyebabkan kita sering menaruh syak
wasangka dan menutup sebarang pintu rundingan permuafakatan demi kepentingan
ummah.
Perlu difahami
bahawa mazhab ahli sunnah dan syiah berbeza kerana pemahaman dan penafsiran
yang berbeza berhubung ayat al-quran, hadis, sirah nabi, sirah sahabat dan
sejarah dunia islam itu sendiri. Sebagai contoh, kita sebagai ahli sunnah wal
jamaah menolak nikah mutah dalam islam tetapi ahli syiah masih berpegang
dengannya. Sebenarnya nikah mutah memang berlaku di zaman nabi, tetapi
Rasulullah telah menasakhkan (memansuhkan) nikah mutah itu di dalam satu hadis
baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Masalah timbul apabila puak Syiah
tidak mengiktiraf hadis tersebut kerana disifatkan sebagai menolak Syiah.
Perkara
seumpama inilah yang akan menjadi bibit perpecahan dan barah di kalangan umat
islam apabila tidak diselesaikan dengan cara penuh hikmah. Jadi tidak hairanlah
apabila musuh islam seperti yahudi amat gemar untuk menggunakan peluru mazhab
ini untuk melaga-lagakan sunni-syiah di samping melemahkan persaudaraan islam
itu sendiri.
Berkenaan
krisis di Syria. Tidak dinafikan krisis di Syria merupakan krisis yang sangat
rumit untuk diselesaikan. Kuasa-kuasa barat dan negara-negara komunis turut
campur tangan dalam masalah ini. Masing-masing menawarkan ‘bantuan’berhelah
untuk menyelesaikan kemelut di Syria dan kemelut ini semakin meruncing dengan
keterlibatan Al Qaeda, Hizbullah dan Iran dalam krisis ini. Umum mengetahui
bahawa Hizbullah menyediakan senjata kepada tentera Syria tetapi kita perlu
terdahulu memahami bagaimana Hizbullah boleh terbabit dalam kancah peperangan
di Syria ini. Hizbullah mula terbabit dalam peprangan Syria apabila gedung
senjata mereka diserang oleh Al-Qaeda di sempadan Lubnan. Perkara ini sengaja
dirancang oleh musuh islam yang menyelinap di dalam al-qaeda(sunni) dan
menghidupkan api permusuhan dengan negara jiran yang syiah seperti Lubnan. Iran
juga tidak terlepas dalam permainan musuh islam dalam hal ini dengan memberi
bantuan senjata kepada tentera Rejim Basyar al Assad. Justeru, Hamas (sunni)
yang sering mendapat bekalan senjata dari Hizbullah dan Iran terperangkap dalam
dilema yang dicipta oleh Israel ini.
Dalam hal Syria
ini, kita perlu menolak sebarang bantuan dan kuasa asing yang mencampuri urusan
Syria dan dalam masa yang sama kita mendesak agar Rejim Basyar al assad
menyerahkan nasib politik Syria di tangan rakyatnya sendiri melalui proses
demokrasi yang adil.
Sepatutnya liga
Arab dan OIC memainkan peranan mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
melanda Negara umat islam ini dan perlu bersikap tegas dengan campur tangan
kuasa asing yang mempunyai agenda tertentu dari mencampuri urus tadbir Negara
Syria. Kita tidak mahu jadi seperti pepatah Melayu, “keluar mulut harimau masuk
mulut buaya “ seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.
Manakala krisis
di Mesir sepatutya mengukuhkan lagi keyakinan kita bahawa tidak perlu mengheret
perbezaan sunni-syiah dalam krisis mutakhir ini. Cuba kita lihat, siapakah yang
secara terang-terangan menyokong kejatuhan Dr.Morsi baru-baru ini? Tidakkah
ianya dari Negara Sunni? Arab Saudi dan Qatar dengan sepantas kilat memberi
bantuan kewangan berbilion ringgit kepada Rejim Al Sisi. Cuba kita bayangkan
jika Iran atau Hizbullah yang mengeluarkan sokongan terbuka kepada kejatuhan
Morsi ini, pasti mendapat reaksi melampau dari pecinta perpecahan sunni-syiah.
Apakah kita terlupa tentang fatwa Syeikhul Azhar Mesir yang menyokong rampasan
kuasa tentera juga merupakan seorang ahli sunnah wal jamaah? Justeru jelaslah
disini kita telah terperangkap dalam mainan zionis Israel yang sering
melaga-lagakan umat islam dengan pelbagai perkara yang kita sering
berselisih pendapat tentangnya.
Hasil kerja
Israel dan musuh islam terhadap umat Islam
Pertembungan
sunni-syiah :-
1.
Mewujudkan ketegangan mazhab di Negara-negara Islam.
2.
Penyebaran video dan laporan palsu di internet yang menunjukkan kekejaman
sesuatu mazhab keatas mazhab islam yang lain.
3.
Berusaha untuk mencari jalan perpecahan dan menggunakan figure politik yang
lantang api permusuhannya kepada mazhab yang tidak sealiran dengan mereka.
Pertembungan
sunni-sunni :-
1.
Berjaya mempengaruhi Saudi dan Qatar untuk menjatuhkan Negara sunni yang lain
(mesir).
2.
Memasuki Jemaah – Jemaah islam untuk menyebarkan fahaman extremis seperti
wahabi extreme yang menimbulkan kecelaruan dalam umat islam.
3.
Mendoktrin pejuang pelampau dalam islam dengan maksud jihad yang menyalahi
al-quran dan sunnah. (eg: tragedi bom di london)
4.
Menyebarkan fahaman islam liberal, islam democrat,sekularisme, sosialisme dan
pluralism kepada umat islam
Pertembungan
syiah-syiah :-
1.
Di kalangan syiah juga berpecah dalam krisis di Syria, ada yang menyokong dan
ada yang menolak.
2.
Dikalangan syiah ada yang kafir mengkafir sesama sendiri.
Kesimpulan
dalam konflik sunni vs syiah :-
Selaku ahli
sunnah wal jamaah, kita kena faham atas dasar apa kita bicarakan dalam masalah
yang melanda umat islam. Kena bijak dalam kategorikan antara fekah, akidah dan
politik bila bicara soal syiah. Dalam bab akidah, kita perlu menyucikan diri
dari keseluruhan pemahaman orang syiah yang jelas menyeleweng. Tetapi jangan
pula kita cepat menghukum bahawa semua syiah itu kafir kerana di sana terdapat
pandangan ulama yang masih menerima syiah imamiah dan zaidiah sebgai
Islam.Hadits riwayat Bukhori dan Muslim dari Ibnu Umar: “Barangsiapa yang
berkata pada saudaranya ‘hai kafir’ kata-kata itu akan kembali pada salah satu
diantara keduanya. Jika tidak (ertinya yang dituduh tidak demikian) maka kata
itu kembali pada yang mengucapkan (yang menuduh)”.
Kita dapat
lihat kemesraan penduduk Yaman yang mempunyai penganut syiah Zaidiah dan sunni
malahan di setiap ibadah seperti solat mereka mengerjakannya bersama. Antara
faktor terjadinya situasi ini adalah disebabkan feqah yang dipegang zaidiah
hampir sama dengan mazhab Syafie.
Usaha
taqrib perlu terus dilakukan antara ulama sunni dan syiah dalam mencari titik
pertemuan demi kesatuan umat Islam. Antara kejayaan usaha taqrib ini dapat
dilihat apabila Ayatollah khomenei telah menarik pencelaan orang syiah kepada
shabat-sahabat dan isteri nabi Muhammad s.a.w. Selain itu, ada di antara ulama
syiah yang mula menolak nikah mutah namun masih tiada kekuatan untuk
mengharamkan secara terbuka kerana bimbang dengan penerimaan orang-orang syiah
yang sudah lazim melakukannya. Ini satu perkembangan yang positif dalam usaha
taqrib antara sunni dan syiah ini. Pemimpin syiah juga mengiktiraf orang sunni
yang selayaknya memimpin dunia Islam kerana faktor majority umat islam adalah
sunni. Selain itu, iran juga mengiktiraf ulama sunni apabila beberapa kali
menjemput ulama sunni ke persidangan ulama mereka. Ahmadinejad juga telah
meminta pandangan tokoh gerakan Islam sunni dalam krisis di Syria dimana dia
diminta untuk tidak memberi sokongan kepada rejim Basyar Assad.
Syiah tidak
dibenarkan menyebarkan fahaman mereka kepada negara sunni dan begitulah
sebaliknya. Hal ini menjamin keamanan dan kemakmuran masyarakat umat islam yang
sudah berpegang dengan akidah yang sedia ada. Perkara ini juga telah
dibangkitkan Syeikh Yusuf Qaradhawi dalam menangani konflik sunni-syiah.
Berhenti
dari meng’highlight’kan kekejaman yang berlaku dengan persoalan mazhab. Kutuklah
si pelaku zalim bukannya mazhab yang dianuti, apakah kita rela jika orang syiah
mengutuk mazhab ahli sunnah wal jamaah di atas kekejaman General al Sisi kepada
Mesir?
Perkuatkanlah
pembelajaran tauhid ahli sunnah wal jamaah yang sebenar dari kita membuang masa
menyalahkan akidah syiah. Dengan pembelajaran tauhid inilah kita dapat
menghindari fahaman syiah bahkan fahaman-fahaman yang dapat merosakkan akidah
seperti anti-hadis, sekularisme, liberalisme, sosialisme, mujassimah,
muktazilah, jabariah dan lain-lain.
Perbanyaklah
belajar tentang sejarah politik Islam seperti kejatuhan Turki Uthmaniyyah,
Abassiyah dan Umaiyah bagi mengelak umat islam terus ditipu oleh permainan
musuh. Kejatuhan umat islam bukanlah disebabkan kekuatan musuh, tetapi
disebabkan kelemahan umat islam itu sendiri. Berhati-hatilah dengan kuasa
kuffar yang mempunyai agenda tersendiri dan berlaku adilah dalam menilai
perihal umat islam.
Solusinya, kita
perlu menumpukan usaha umat Islam baik sunni mahupun syiah untuk bersama-sama
dalam pembebasan al-aqsa kerana matlamat kita jelas untuk mengusir zionis
laknatullah yang sering melaga-lagakan umat islam dari bumi palestin. Kita
perlu melaungkan slogan dan suara yang sama dalam mewujudkan titik kesatuan
antara sunni dan syiah. Percayalah, dengan suara pembebasan al-aqsa inilah kita
dapat menggerunkan hati-hati musuh islam justeru dapat mengalahkan agenda jahat
mereka seterusnya mengembalikan daulah islamiyyah yang sudah lama diidamkan
oleh semua umat manusia di muka bumi ini.
Kesimpulannya,
janganlah menjadi alat percaturan zionis/Israel yang sengaja menjadikan
pertelingkahan mazhab ini berpanjangan. Percayalah, sekarang ini kita telah
memuaskan hati Israel dengan berperang sesama sendiri disebabkan nafsu dan
kebodohan yang membabi buta. Mereka tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar
untuk memusnahkan Islam sekarang ini tetapi cukup dengan hanya meracun
pemikiran dan perasaan umat islam.
Kepada saudara
kita di mesir dan Syria bersabarlah dengan dugaan yang ditimpakan ke atas
kalian. Setiap darah yang mengalir pasti akan diberi ganjaran oleh Allah di
akhirat kelak. Kami di sini tidak pernah melupakan kalian. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Orang-orang
mukmin itu ibarat satu tubuh/jasad, apabila satu anggota badan sakit, maka
seluruh tubuhnya ikut merasakan sakit demam dan tidak dapat tidur." (HR.
Muslim). Insya Allah akan tiba saatnya nanti kegelapan malam
disinari dengan cahaya sang suria! Dan pada saat itu bergembiralah umat islam
kerana akan dipayungi daulah islamiyah yang kita impikan.
Semoga Allah
mengembalikan kemenangan Islam di bumi mesir, Syria dan seluruh dunia.Amin ya
rabbal alamin. Wallhualam.
Artikel ini
merupakan karya seorang penulis dalam team GMM yang membuat kajian terhadap isu
semasa.
-Admin
GMM-
0 comments:
Post a Comment