Selamat Datang ke blog GMM

Siapa kami??Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka!

UiTM Seluruh Malaysia

Bersatu demi MATLAMAT yang SAMA. BUKA MATA BUKA HATI.

Perjuangan tidak berhenti disini

Demi masa depan anak-anak kami kelak, kami akan BERSATU memperjuangkan HAK kami.

Siapa kami?

Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka

FREEDOM!!

HAK kita semua

Selamat Bercuti


HARUNGI HARI-HARI REHAT BIASA KEPADA YANG LEBIH LUAR BIASA
Menggenggam tangan dan mengumpul lima jari ibarat menyatukan kekuatan kecil pada setiap jari pada tapak tangan dan dengannya..maka akan terhasillah kekuatan padu yang bisa merubah pelbagai perkara. Lima jari yang seringkali mahasiswa gunakan setiap hari, memicit-micit kepala yang penat menghadap buku, menguruskan kumis-kumis kecil selepas beberapa minggu sibuk menghadapi exam akhir, dan menekan-nekan kalkulator untuk menutup akaun belanjawan semester ini..barangkali ada mahasiswa yang tidak menyedari bahawa lima jari yang diamanahkan terbiar kasar melewati waktu tanpa pengurusan yang sebetulnya.


Ingatlah, pada lima jari kita terhimpun besar kekuatan yang boleh menjadikan mahasiswa semakin mengerti tujuan ditempatkan sebagai khalifah di muka bumi. Lima jari kita seolah-olah sebagai simbol peringatan Allah SWT kepada lima perkara yang perlu diuruskan sehari-hari dengan penuh teliti dan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bagai hitungan kepada lima perkara yang pasti akan dialami oleh setiap mahasiswa..anak jari diibarat masa LAPANG sebelum SEMPIT mahasiswa. Seperti anak kecil, masa lapang berhabis begitu sahaja tanpa menyedari umur semakin meningkat dewasa tetapi ilmu panduan hidup tetap pada takuk yang lama. Jari manis yang indah terhias cincin tunangan@adat mahasiswa sekarang sebagai tanda sudah berpunya boleh diibaratkan zaman MUDA sebelum TUA. Tanpa iman dan pegangan kukuh betapa mudahnya mahasiswa terjatuh kedalam cinta manusia biasa dan tujuan berada di taman ilmu menjadi kabur dan kabut. Apabila diajak untuk sama-sama duduk di surau menuntut ilmu agama dan dengar ceramah agama..banyak alasan diberi. Dinasihat untuk berubah kepada mahasiswa berilmu, beriman dan matang mudah memberi alasan belum bersiap sedia lagi.


Sekarang terserah kepada mahasiswa sendiri untuk membawa diri kerana tiada siapa tahu mungkin mereka bisa memberi alasan kepada malaikat maut tika saat nyawa dicabut kerana tidak bersedia lagi. Jari tengah menjadi jari kebiasaan orang-orang kaya untuk dimuatkan cincin yang lebih dan berat batu permatanya. Bagai ingatan KAYA sebelum MISKIN begitu jualah dengan jari telunjuk mengingatkan kita tentang SIHAT sebelum SAKIT. Terluka sedikit pun jari telunjuk itu, suapan nasi ke mulut menjadi payah dan stress makin bertambah-tambah. Jari terakhir ibu jari diangkat dan dijungkit ke atas apabila bersetuju dan menunjukkan rasa puas dan bagus kepada seseorang. Seperti saat HIDUP sebelum MATI dan ibu jari yang memberikan peranan utama, ibarat nyawa kepada jari-jari yang lain. Lihatlah..fikirkanlah..anugerah Allah SWT kepada mahasiswa dan kami mengajak mahasiswa bangkitlah dalam menjadi khalifah kepada diri masing-masing sekurang-kurangnya..untuk pelajar siswa yang berani membawa anak gadis orang tanpa izin ibu bapa untuk menunggang motor dan kereta cuba-cubalah bertanyakan kepada diri sendiri..mampukah memimpin gadis itu sedangkan matlamat hidup dunia akhirat sendiri belum lagi dikenal pasti. ‘Saya hanya manusia biasa..’ itulah jawapan dari mulut mahasiswa. Alhamdulillah..atas dasar kesedaran kita sebagai manusia biasa maka sedarlah bahawa kelima-lima perkara itu harus digunakan sebaiknya sebelum lima perkara lain datang.


Kelima-lima perkara tersebut ibarat jari ditangan kita. Tidak sama masa dan subjektifnya untuk diperincikan selama mana kita akan bersenang dengan lima perkara sebelum lima perkara. Seperti kelima-lima jari kita..panjang pendeknya tetap tidak akan sama melainkan makhluk istimewa yang cacat genetiknya atau terputus kerana Allah SWT menarik semula pemberiannya atas sebab-sebab tertentu. Sedar-sedarlah mahasiswa jika ada lagi yang masih hanyut bermain di laman nafsu dan percaturan mainan dunia, terasa diri masih muda dan tidak bersedia lagi untuk pertahankan agama dan saudara kita, tidak merelakan harta dikongsi untuk membantu yang merana, bebas bergaul bersentuh mesra hingga terlupa pencatat amalan dan manusia sekeliling yang jelek memandang mereka..dan terlupa sekejap saja lagi malaikat maut menjemput dengan rasminya.


Masa yang ada dan kesempatan cuti semester yang melambai mendekati bukankah lebih baik jika sepenuhnya diguna untuk melengkapkan lagi kekosongan hati dan ilmu bermanfaat pelbagai bentuk yang pasti menjamin kematangan mahasiswa dalam membina jati diri yang seringkali dilihat begitu kurang terbina dalam diri mahasiwa. Kita tidak tahu..mungkin ketika habisnya ayat terakhir ini dibaca dan ditulis penulis dijemput dulu ke sana dan pembaca tiba-tiba tersedar diri bukan lagi didepan kesan sistem 010101 tetapi sudah terbujur menanti untuk disoal. Selamat bercuti dan sama-samalah memajukan diri sendiri supaya seluruh sistem anggota amanah Allah SWT ini benar-benar membawa erti apabila tiba timbang tara kelak. Semoga bersua kembali semester hadapan…!

PenA FinAl ExAm


Atas pentas ini, jadi tempat persinggahan kepada kita untuk menimba segala peluang yang ada. Dari saat kita dilahirkan lagi..segala modal sudah diberi supaya kita mampu untuk membuat perniagaan besar-besaran lantaran saham untuk bertemuNya begitu tinggi nilainya. Sememnagnya kita bukanlah watak utama dalam pentas dunia yang berliku-liku ini namun sedarkah kita setiap diri kita adalah watak utama  dalam cerita masing-masing.

'PeLAkOn'nya kita..

ber’sKRip’kan Al-Quran dan hadith..

‘caMerAmAn’nya adalah malaikat..

BERpeNtAskan dunia..

Bulan,bintang dan makhluk lainnya jadi sAKsi tingkah-laku kita..

Dan Allah SWT.. sebagai ’diReCtor’nya..

Bangun pagi kita sedar dan sujud mengaku ketuhananNya..namun apabila selangkah kita ke alam dunia, ingatan pada Allah SWT melayang entah ke mana kerana ujian menerpa tak terdaya dilalui dengan peraturanNya. Tidak diciptakan segalanya didunia semata-mata tanpa ujian buat kita..sekeliling kita adalah ujian buat kita. Hatta sebatang pena, kertas, kerusi dan meja adalah ujian buat kita..inikan pula siswi-siswi jelita menggoda, siswa-siswa kacak bergaya, wang-wang persatuan yang tergolek menanti diterpa, dan hiburan buatan mahasiswa yang tak sudah-sudah akan menguji kalimah syahadah kita setiap hari..bentengnya adalah takwa dan sejauh mana kepekaan mahasiswa tentang isu-isu akidah sama-samalah kita renungkan dan sama-samalah nasihat-menasihati.



Musim peperiksaan sudah menjelma..ujian percuma yang bakal dibayar pula dengan keputusan disehelai kertas berwarna. Sama-sama kita teguhkan hati, mengabdi diri dimeja dan bertemankan buku-buku dan pena. Jangan kita lupa tentang hebatnya sebatang pena yang mampu mengubah dan menggoncang dunia. Para pemimpin dan pemikir dunia semuanya lahir kerana kesetiaan mereka kepada sebatang pena. Dari patah-patah perkataan dan lakaran minda sebatang pena..kita mampu melihat dan memahami ilmu, pemikiran dan hati manusia..tak akan mahasiswa mengerti kalimat I LOVE YOU, CO2 , ,  glomerular, FSPU dan diktator dunia jika tiada pena sebagai pemulanya. Sukar sangatkah meneguk ilmu yang dibaca hingga tangan pemegang pena  terpaksa membawa ‘toyol’ yang pelbagai bentuk dan rupa. Ke mana hilangnya jati diri mahasiswa dan begitu terukkah sistem pembelajaran universiti hingga membuatkan mahasiswa gah membawa nota-nota kecil dalam dewan peperiksaan? Malu..melihat ada mahasiswa menyelit nota dalam pakaian, berlama-lama ke tandas masa peperiksaan.. konon untuk merehatkan minda..paling bergaya keluar awal dari bilik peperiksaan kerana kontang idea menconteng buku jawapan peperiksaan..salah pena ke..?

Mahasiswa perlu dikejut kesan dari ubat pelali hiburan sia-sia dan kotak selesa mereka. HIburan, kemewahan melampau tanpa perkiraan dan pengacuan mahasiswa yang hanya berunsurkan teras dunia tanpa agama suci perlu dihentikan. Jemaah Majlis Perwakilan Pelajar dan persatuan-persatuan dalaman sama-samalah merebut peluang perniagaan yang tiada tara pulangannya dari ‘director’ Yang Maha Kuasa berkat dari membantu memimpin sekalian mahasiswa kearah menjadi manusia yang bukan sekadar BIJAKSINI malahan BIJAKSANA..sama-sama memikul amanah dan sama-samalah kita berjihad bersama-sama PENA dalam melakar indah titisan-titsan ilmu Allah SWT. Semoga kita akan tersenyum lega menghabiskan ‘skrip’ lakonan kita, membuatkan ‘cameraman’ mampu merakam aksi-aksi yang mampu buat kita capai Anugerah Skrin Timbang Tara dan ‘direktor’ mampu menerima kita sebagai pelakon handalan yang disayangiNYa..akhir kata, berlakOn la ikOt skrip..kalO tak mO diRektOr murkA..........   

..SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN..  

Alamak..!

Pernahkah kita terfikir dan kadang-kadang mengelamun sendirian apabila terasa penat dan letih mengikut segala peraturan yang ada..sedangkan kita masing-masing mempunyai corak kehidupan berbeza dan inginkan kebebasan dalam memilih corak hidup kita. Kadang-kadang kita rasakan peraturan yang sedia ada tidak sesuai dengan hati dan kehendak kita. Tidak sesuai dengan rutin hidup kita yang semakin berubah setiap hari dan masa. Tidak perlu ke kuliah setiap hari dan bebas  mengikut jadual hidup kita sendiri. Tidak perlu menandatangan kehadiran setiap kali ke kelas. Mengatur jadual sendiri. Boleh berjumpa dengan pensyarah tanpa batas masa dan bebas memilih pensyarah yang diingini..idea dan rencana kita juga bebas disalur dan dikongsi bersama semua orang. Setiap idea kolot atau apa sahaja dalam  pemikiran kita bukankah indah jika tiada insan lain yang cuba menghalang dan menakut-nakutkan mahasiswa kesan dari beraninya mereka bersuara..?

                Kadang-kadang terfikir juga..kenapa awal-awal lagi tidak ada jadual peperiksaan. Tidak akan menjadi mudahkah pilihan mahasiswa setelah semuanya tersedia untuk diberi ‘OPTION’..? atau mahasiswa masih lagi tidak mampu diberi kepercayaan berdikari untuk memilih ‘OPTION’ sendiri..? Ahh..hampir-hampir terlewat ke kuliah. Sunat Dhuha nak ditegak tapi kuliah perlu sampai awal. Assignment pula nak rujuk banyak buku. Tapi..   

Belajar akan menjadi lebih indah jika perpustakaan yang kononnya amat gah dari kualiti dan pencapaian mereka penuh dengan buku-buku dari seluruh dunia. Himpunan ilmu yang pelbagai tersimpan dalam perpustakaan dan mahasiswa bebas menggunakannya. Adakah kerana yuran yang dibayar mahasiswa tidak mencukupi untuk membeli buku-buku baru dan terkini dari seluruh negara..atau buku-buku tidak dilihat sebagai bahan ramuan penting dalam membentuk minda dan pemikiran kami? Atau masih dalam pemprosesan lagi..? Kita perlu lakukan sesuatu..

                Atuk pernah pesan;

                                Kau akan jadi raja apabila BUKU kau jadikan sebagai pendita,

                                SETIA bersama, BAWA kemana..

                                Walau SEHELAI MUKA kau baca sudah cukup bermakna,

                                Kerana ILMU itu mudah kau kecap setelah kau menCINTAInya..

MPP UiTM Malaysia..salam perkenalan pertama mereka


Mungkin inilah salam perkenalan secara lebih terperinci dari pimpinan baru MPP 2009/2010 UiTM Malaysia selepas Road Tour MPP 2009. Para mahasiswa mungkin tidak begitu menyedari akan kehadiran suasana pemudahcara yang cuba diketengahkan oleh MPP supaya lebih dekat kepada mahasiswa. Walaupun poster majlis pimpinan masih belum tertampal secara rasminya tetapi mungkin atas kehendak dan desakan mahasiswa yang terlalu ingin mengenali MPP mereka menyebabkan blog ditubuh tanpa perlengkapan yang rapi untuk mencapai piawai kepuasan mahasiswa itu sendiri..maka timbullah persoalan dikalangan mahasiswa sendiri akan persediaan MPP membawa suara mahasiswa kepada pihak pengurusan UiTM.   





Teringat sebuah kata-kata dari seseorang:

GREAT PEOPLE talk about IDEAS,
AVERAGE PEOPLE talk about THINGS,
SMALL PEOPLE talk about OTHER PEOPLE

Mungkin mahasiswa perlu menerima hakikat bahawa MPP masih dalam proses untuk bangun memimpin program-program dan memikul hak mahasiswa kebahagian atasan. Sebagai mahasiswa yang sentiasa inginkan suara mereka didengar dan hak mereka terjaga, bantuan dan kerjasama kepada MPP mungkin boleh disalurkan dengan kaedah yang bersesuaian. Perkara penting yang perlu diaplikasikan oleh kedua-dua belah pihak adalah membentuk semangat kerjasama antara satu sama lain..bukan cantas-mencantas. Jika dasar mereka untuk membentuk satu pasukan yang teguh maka ukhuwah itulah jalannya. 

Elakkan rasa TINGGI DIRI,
CERMIN-CERMIN kanlah diri,
Kerana TELINGA yang paling dekat mendengari,
Adalah BIBIR yang lantang mengucap perkataan dari hati.. 

 



Tangani PPSMI dan Mahasiswa, Segera Buka Pintu Ekonomi Anda !




Masih panaskah isu PPSMI dikalangan mahsiswa..? Seminggu berlalunya demonstrasi PPSMI. Demonstrasi yang dihadiri hampir 5000 orang awam dikatakan menjadi semakin meriah dengan kehadiran FRU kepala merah yang dikatakan terpaksa bertindak memancutkan gas pemedih mata kepada orang-orang yang berdemonstrasi. Sejauh mana keganasan yang dilakukan oleh orang awam sehingga mereka terpaksa dihalau dengan air berwarna teh susu yang kotor, gas pemedih mata dan asap-asap yang seolah-olah membakar kulit muka..? Mungkin mahasiswa sendiri terpaksa membuat eksperimen dan kajian tersendiri tentang individu atau kumpulan pencetus keributan  ketika demonstrasi PPSMI lalu. Tidak mungkinkah berlaku perhimpunan beramai-ramai yang aman tanpa kehadiran FRU kepala merah..agaknya siapa yang tidak akan lari apabila disembur panahan gas pemedih mata depan muka? Jadi siapa yang mulakan keributan tu..? Jika kumpulan semut api yang berkumpul untuk mencari makanan sebagai motifnya, diganggu oleh makhluk lain bukankah secara fitrahnya akan mempertahankan diri kumpulan mereka..? Kita mahukan keamanan jadi cukuplah sekadar FRU menjadi pemantau dan bertindak setelah keadaan benar-benar genting. Mungkin mereka tidak percayakan rakyat mereka lagi..dan mungkin itu jugalah penyebabnya rakyat tidak percayakan mereka sebagai pemimpin. 


Sedar atau tidak sedar kita digegarkan lagi dengan isu ekonomi dunia yang semakin menghangat bibir-bibir para cendekiawan Malaysia. Kalau tahun 1997 dulu menjadi saksi perjalanan ekonomi dunia merudum  kali ini kesannya dilihat semakin besar dan membimbangkan. Terkesan daripada pasaran dunia yang jatuh merudum banyak  institusi-institusi saham dan perniagaan terpaksa mengambil inisiatif mengurangkan kos melalui cara memberhentikan begitu ramai pekerja dalam institusi mereka. Jika NISSAN membuang 20000 pekerja, pasaran BMW mengurang, negara maju Jepun juga turut mengalami kejatuhan pasaran yang teruk bagaimanakah pula masa depan mahasiswa yang akan lulus keluar dari universiti nanti?

Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bangkit dari lena yang entah bila akan sedar. Mahasiswa..berhentilah mengendahkan hiburan picisan yang sekadar kembang mekar tika paginya. Apabila sudah panas terik kuncup layu dan tak bermaya..kau perlu bangkit mahasiswa! Usah lagi kita disibukkan dengan ‘dating’ yang tak bermoral, rokok, curi, rompak, mengata nista, menunggang sana-sini tanpa ikatan sah..silap-silap tergolek bawa padah nak menjawab dalam kubur..! Apa guna persatuan dalam universiti ditubuh jika sekadar menganjurkan konsert dan majlis yang bercampur-gaul seperti rojak sehingga entiti Melayu dan Islam tidak dapat dilihat jelas pada diri mahasiswa yang dikatakan gah dengan pemikiran bijak dan jati diri teguh..sendiri muhasabah dan bermusyawarahlah ‘brainstorming’ idea masing-masing untuk kebaikan mahasiswa dunia akhirat. Mahasiswa kaya dengan idea tetapi malang jika idea disimpan dalam otak masing-masing dan tidak cuba diketengahkan.

Alangkah indah jika mahasiswa semua bersama-sama mencipta sejarah dengan menyemak kembali sejarah Ketuanan Melayu kita. Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang masyhur dengan perdagangan dan tidak perlu kita melihat terlalu jauh..cukup rasanya sekadar mengimbau sirah Rasulullah SAW yang berdagang di bumi Arab. Ekonomi Islam maju kerana perniagaan..dan mahasiswa perlu bangkit dengan perniagaan. Bayangkan jika setiap keperluan hidup diniagakan oleh seorang mahasiswa. Jangan menipu diri sendiri bahawa tiadanya minat untuk berniaga..sedangkan hasil keuntungan yang diperolehi pasti tidak akan ditolak mahasiswa untuk diterima. Setiap orang berniaga berlainan produk, menyumbang kepada keuntungan setiap orang. Apabila dipusing-pusing dan dialirkan wang kepada setiap orang maka tidak akan timbul soal kejatuhan ekonomi lagi. Sementelah zakat dan derma pula dilakukan bertambah berkat dan erat lagi ukhuwah mahasiswa.

Bukan niat untuk mengajak mahasiswa kepada keduniaan semata tetapi sama-samalah kita fikirkan sunnah Rasulullah SAW yang amat jelas membuktikan perniagaan adalah salah satu cara Islam dapat dikembalikan kegemilangannya. Majulah perniagaan untuk MAHASISWA !!!