Selamat Datang ke blog GMM

Siapa kami??Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka!

UiTM Seluruh Malaysia

Bersatu demi MATLAMAT yang SAMA. BUKA MATA BUKA HATI.

Perjuangan tidak berhenti disini

Demi masa depan anak-anak kami kelak, kami akan BERSATU memperjuangkan HAK kami.

Siapa kami?

Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka

FREEDOM!!

HAK kita semua

Ramadhan Merdeka

       Tidak ditinggalkan dua perkara melainkan Al-Quran dan sunnah setelah pemergian Rasulullah SAW kepada umatnya. Menjadi tanggungjawab bagi seorang pemimpin, khalifah dan hamba Nya untuk mempraktikalkan isi yang terkandung dalam dua perkara tersebut. Ramadhan..hadir setahun sekali. Merdeka..jadi ingatan dan kenangan juga setahun sekali. Jadi, apa beza sambutan dan penghargaan terhadap dua perkara yang nyata berbeza tetapi hadir dalam waktu yang sama tahun ini?
       GMM ingin berkongsi bersama mahasiswa, sedikit peristiwa dan sejarah besar dalam Ramadhan yang dipetik dari sebuah buku bertajuk Ramadhan: Tetamu Yang Dirindui. Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam. Antara sejarah penting Ramadhan ialah:
  1. BULAN DITURUNKAN AL KITAB.
  2. PERISTIWA BADAR
  3. ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH
  4. PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK
  5. ISLAM SAMPAI KE YAMAN
  6. KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA
  7. PENYERAHAN BANDAR TAIF
  8. PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)
  9. PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL
  10. TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL
  11. PEPERANGAN YAKHLIZ
  12. TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL
       Sungguh besar dan istimewa peristiwa Ramadhan bukan? Ini hanyalah secebis peristiwa yang GMM sempat catitkan. Ayuh kita lihat pada merdeka Malaysia yang disambut pada setiap 31 Ogos ini.
Di sebalik kemerdekaan negara selama 52 tahun, masih ada mahasiswa yang masih belum memahami takrif merdeka mengikut definisi yang sebenar lebih-lebih lagi dari sudut Islam sendiri.
       Mahasiswa, usah terus dijajah minda anda dengan idealisme asing yang menyusup menerusi satelit, internet dan media pastinya. Paling menyedihkan apabila tibanya sambutan kemerdekaan masing-masing membayangkan bendera dikibar, berkumpul beramai-ramai didataran, bersorak gembira apabila detikan jam 12 berbunyi dan percikan bunga api yang berwarna-warni. Relevankah pemikiran sebegitu bagi seorang mahasiswa yang benar-benar faham erti kemerdekaan?
       Secara dominannya, GMM pasti apabila disoal tentang sejarah dan turutan peristiwa bagi mendapat kemerdekaan pasti ada kalangan mahasiswa masih tercanguk-canguk dalam menjawab. Apa yang mereka tahu? Beragenda dengan pasangan masing-masing, memuaskan nafsu atau hanya pandai berteleku di meja tulis menghadap buku-buku tanpa pernah memikirkan isu semasa negara lebih-lebih lagi Islam. Nafsi-nafsi. Sendiri-sendiri. Tunggu sajalah rosaknya kemasyarakatan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain. Tidakkah mahasiswa dapat melihat dengan jelas kemunduran pemikiran dalam kalangan mahasiswa sendiri sekarang?
       Mahasiswa, kkemerdekaan adalah apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam seluruh aspek, baik penjajahan lahir atau batin. Mahasiswa yang merdeka pasti dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakan kita berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
       Jangan mahasiswa menganggap Hari Kemerdekaan adalah hanya merupakan hari cuti biasa. Seronok pulang ke laman ibu ayah tanpa mengambil iktibar dari perjuangan orang-orang terdahulu. Sudah menjadi tanggungjawab mahasiswa mempertahankan kemerdekaan negara daripada rejim-rejim terselindung seperti hiburan melampau, rokok, pergaulan bebas,arak dan sebagainya. Harus diingat, penjajahan dari kepelbagaian warna, bentuk dan saiz yang menyenikan dicipta apabila penjajahan menerusi kapal dan senjata dikecam seuruh dunia.
       Semuanya terpulang kepada mahasiswa sendiri untuk memikirkan. Tugas GMM adalah untuk mengingatkan dan menyeru mahasiswa bangkit dari lena atau mabuk dalam nafsu sendiri. Darah muda, kata orang-orang tua. Sesungguhnya seorang mahasiswa yang masih gagah, muda dan aktif mindanya apabila berpegangkan Al-Quran dan sunnah lebih hebat nilainya berbanding seribu mahasiswa yang mendapat cgpa 4.00 namun tidak tahu apa-apa tentang kemerdekaan mereka.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-52 DARI WARGA GMM!

Marhaban Ya Ramadhan…..Marhaban Ya Ramadhan….

Ramadhan kini menjelma lagi. Barangkali siswa-siswi turut merasakan debaran Ramadhan yakni penghulu segala bulan. Di dalamnya terkandung LAILATULQADAR, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

“Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr, ayat ketiga).

Barangkali debaran Ramadhan ini terasa kerana mungkin persediaan mental dan fizikal yang tidak mencukupi atau langsung tiada untuk menempuh Ramadhan dengan keputusan yang cemerlang. Mungkin juga berasa teruja kerana masih sempat bernafas di bulan Ramadhan ini. Ya…Ramadhan adalah bulan ALLAH. Bulan yang di dalamnya penuh dengan keberkatan dan kenikmatan ibadah. Satu bulan yang merupakan hadiah dari ALLAH untuk ummat Muhammad SAW.

Mengikut Imam Malik, sejarah malam lailatul qadar bermula apabila Nabi Muhammad SAW sedar yang usia umat Baginda tidak sepanjang usia umat terdahulu, hanya antara 60 tahun hingga 70 tahun, malah Rasulullah SAW sendiri wafat ketika usianya 63 tahun.
Menyedari hakikat itu, Rasulullah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya umatnya dapat beribadat sama dengan nilai ibadat umat terdahulu lalu disebabkan kasihnya Allah SWT terhadap baginda, Allah SWT mengurniakan malam lailatul qadar.

Imam Qurtubi menjelaskan bahawa dikurniakan malam lailatul qadar itu sebagai tanda cintanya Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda melebihi umat lain dan dikurniakan malam istimewa itu juga bagi menghiburkan hati Rasulullah SAW.

Nah……Sekarang siswa-siswi sudah mengetahui serba sedikit tentang kelebihan Ramadhan. Maka, khas kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa UiTM Shah Alam, GMM berharap Ramadhan ini tidak dicemari dengan FESKEM yang tidak Islamik, tidak bersesuaian dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan. GMM mencadangkan, pemimpin-pemimpin mahasiswa melaksanakan FESKEM dengan mengadakan penghayatan merdeka cara Islam bagi menjelaskan konsep merdeka berdasarkan al-Quran dan hadis. Dengan cara ini, kita sekaligus mengajak mahasiswa-mahasiswi bertadabbur al-Quran, yakni menghayati al-Quran. Bukankah al-Quran itu diturunkan pada malam-malam di bulan Ramadhan? Apakah hikmah diturunkan al-Quran ini di malam Ramadhan kalau bukan untuk mengajak manusia bertadabbur dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan? Fikir-fikirkanlah!

Akhir kalam, kami barisan moderador GMM ingin memohon maaf kepada semua pengunjung setia blog ini seandainya ada kelemahan, rasa tidak puas hati dan perasaan-perasaan kurang enak dengan penulisan kami. Sungguh…kami berusaha menegur apa jua bentuk ketidakadilan atau penyelewengan pada kadar pengetahuan kami.

Semoga Ramadhan yang dilalui bakal membentuk hati yang tunduk patuh pada ALLAH, bukannya dilalui kosong tanpa mendapat sebarang manfaat. Celaka sekali kita jika kita melalui Ramadhan tanpa beroleh sebarang manfaat.

Jadi, ayuh siswa-siswi! Mari rebut peluang pahala di bulan Ramadhan ini!

FORUM TERKINI: http://mahasiswamerdeka.aimoo.com/

BUKTI MAHASISWA BERFIKIR !


Dikurnia satu mulut untuk berBICARA,
Dua telinga untuk menDENGAR,
Hebat GMM melihat mahasiswa MENUTUR KATA,
Laman MPP kini menjadi padang GEGAR..

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR. Gah sekali jika barisan-barisan pemimpin ini berhadapan di atas pentas dalam setiap induksi PEMIMPIN BERSAMA MAHASISWA. Pastinya setiap semester mereka ! Sarat berbekalkan minat memimpin, rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan agama, cintakan pengalaman dan cabaran serta pelbagai enakmen-enakmen tersembunyi dalam hati jiwa setiap MPP mereka. Tidak pernah berlaku kekosongan kerusi dalam dewan sebesar-besarnya..tidak pernah mahasiswa memboikot pertemuan dua mata tersebut..kerana yang pasti mereka mahu hak, maruah, kebajikan dijaga dan MPP mampu memberi jawapan yang TERBAIK untuk setiap persoalan mereka.



Persoalan yang masih ligat bermain difikiran GMM..adakah MPP yang ‘ter’pilih sudah kuat jati diri lebih-lebih lagi agama yang tiada tanding jika tanpanya pasti menggoyahkan barisan pimpinan? (Jika ada menidakkan kepentingan agama maka ada ruangan hitam dihatinya..check semula! )Umum sebilangan mahasiswa melihat MPP seolah-olah hanya pandai berkot sakan ke konvensyen, majlis mengkualitikan pimpinan dan pelbagai program yang bergaya namanya dicipta dihadiri oleh MPP. Namun begitu, sedar atau tidak..mahasiswa sendiri kabur dengan realiti kehidupan mereka yang sebenar. Harus mahasiswa sendiri menyedari bahawa MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR mampu dianekdotkan sebagai barisan POLITIK KAMPUS!



Teroka sebenar-benarnya tugasan mereka. Pernah atau tidak mahasiswa melihat YDP MPP mereka berjalan ke hulu ke hilir menyelesaikan sesuatu permasalahan pelajar? Ada atau tidak YDP anda mewarisi pimpinan Saidina Umar R.A..meninjau rakyatnya tanpa disedari mereka..selidiklah sendiri. Mungkin secebis pujian patut diberi kepada YDP Mursyidi (hanya yang ‘ter’nampak mampu berbangga dengan YDP mereka). Apabila namanya politik kampus, sudah pastilah kerja-kerja dan penat-lelah MPP tidak dapat dilihat tanpa BANTUAN. Rasionalkah setiap keringat dan semput nafas MPP diuar-uarkan kepada pelajar? Bersetujukah mahasiswa jika MPP mengeluarkan naskhah risalah bulanan masalah yang dapat diselesaikan dalam kampus? Jika BERSETUJU, ayuh kita gegar blog MPP..minta risalah beserta gambar bukti masalah kampus diselesaikan!



Khas buat MPP, mahasiswa mungkin memerlukan BANTUAN untuk melihat jasa-jasa anda kepada mereka. BANTUAN berbentuk ILMU! Sudah semestinya. Mereka bukan minta disuapkan teori yang BUKAN-BUKAN tetapi berikan HUKUM yang memang sudah termaktub dalam penciptaan Adam Hawa didunia.. Usah disalahkan mereka jika mereka hanya dilihat berani bersuara tanpa memperkenalkan diri. ITULAH POLITIK ! Mempunyai persamaan dengan politik di mana-mana sahaja tempatnya. Adakah buah fikiran, idea dan kritikan memerlukan jasad di depan mata barulah pemikiran mereka akan diambil kira. Walhal dalam negara sekalipun peluang bertemu mata dengan pimpinan cukup jauh sekali bahkan kritikan serta idea kebanyakannya disampaikan melalui media teknologi dunia. Semuanya akan terjawab di penghujung peralihan kuasa kepada pimpinan terbaru..adakah hasil pimpinan mereka berupaya mencetus dan memberi bukti bahawa mahasiswa mereka mampu berfikir atau masih ditempat yang lama.



Kesudahan yang baik mestilah dimulakan dengan perkara yang baik. Bukankah permulaan dinobat MPP mereka lantaran mahukan hak mahasiswa terjaga? Bukankah calon-calon yang dipilih dan diundi kesemuanya memenuhi kriteria-kriteria yang diingini mahasiswa? Siapa yang menanggung kesan apabila hanya sebilangan mahasiswa sahaja yang keluar mengundi calon MPP mereka? Wahai mahasiswa, tepuk dada tanya minda..fikir-fikirkan sedalam-dalamnya wajar atau tidak anda menghambur amarah 100% kepada MPP jika terselit sedikit kesilapan pada mereka..? Jika mahasiswa mampu berfikir dan tersedar syukur GMM ucapkan.

2 MATA untuk lebih meLIHAT,
2 TELINGA untuk lebih menjadi PENDENGAR,
..dan 1 MULUT, LIDAH untuk kurang berBICARA..
..serta 10 JARI JEMARI indah untuk MENUNTUT MINDA MAHASISWA DIBUKA..!




Makna Disebalik h1n1?


UiTM umumnya bercadang akan mengadakan cuti mingguan lagi sekiranya h1n1 masih menular dalam kampus. Bilangan pelajar yang dijangkiti h1n1 secara kasarnya melibatkan pelajar yang menduduki kolej. Ini memungkinkan kuliah akan ditangguh dan semester mungkin akan tertangguh..apa pendapat mahasiswa berkenaan isu kesihatan yg merisikokan dan memperjudikan pembelajaran kuliah harian pelajar? GMM terfikir juga..perlukah kita mengambil risiko mengancam kesihatan pelajar lain dgn cara membiarkan sahaja pesakit-pesakit berkeliaran di legar kampus. Walhal kadang-kadang pembawa virus kelihatan cukup sihat dan tidak mengalami simtom-simtom h1n1. Ada berpendapat dgn cara men'kuarantin' pesakit dari kalangan pelajar dan meneruskan pembelajaran seperti biasa sudah mampu mengatasi masalah cuti mengejut ini. Namun harus difikirkan juga suasana persekitaran yang rata-ratanya tidak mampu menghalang virus pandemik ini dari terus bersenang-lenang memasuki rongga badan pelajar.

GMM sendiri turut ingin mencadangkan kepada pelajar sekalian supaya meningkatkan sistem imunisasi badan masing-masing. Banyakkan meminum air suam atau kosong. Sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
Kejayaan pelajar memasuki tandas (pelaburan hebat) sesekerap mungkin bermakna itulah kejayaan mereka dalam mencapai keseimbangan elektrolit dalam badan..

IKUTI FORUM TERKINI & BERAPI di http://mahasiswamerdeka.aimoo.com/

MURSYIDI : ERA PEMBAHARUAN ATAU SEKADAR PEWARIS BARU?





Sudah 1 semester berlalunya era pimpinan saudara Mursyidi selaku Yang DiPertua MPP UiTM Shah Alam 2009. Mungkin semester pertama adalah musim persediaan buat saudara Mursyidi dan teman-temannya yang setia disisi membina strategi dan perancangan bagi menghadapi ujian-ujian semester ini. Langkah pertama mahasiswa ke semester baru Julai 2009 bakal menyaksikan sama ada kepimpinan mereka benar-benar dilaksana mengikut manifesto-manifesto yang terhambur ketika PRK lalu. Mampukah saudara Mursyidi menjinakkan mahasiswa dengan nilai cintakan ilmu sekaligus mempertingkat golongan mahasiswa berfikiran kreatif, inovatif serta mampu menjadi pemikir-pemikir yang berguna untuk masyarakat dan agama? Mampukah saudara Mursyidi menentang habis-habisan gejala terkenal di kalangan mahasiswa iaitu ‘couple’, pemakaian yang mendedahkan aurat dan berlawanan dengan budaya Melayu serta hiburan-hiburan yang langsung tidak membawa faedah kepada mahasiswa? Ayuh…kita lihat!


Jika permasalahan yang sama masih timbul di kalangan mahasiswa, aduan kerosakan remeh-temeh, kemudahan awam biasa seperti bas masih tetap menjadi topik hangat dikalangan mahasiswa..itu sudah cukup membuktikan pimpinan mahasiswa UiTM sebenarnya masih gagal untuk keluar dari kepompong lama. Seolah-olah pimpinan tidak mampu untuk melangkah dan membuka era baru dalam pimpinan tetapi hanya sekadar mewarisi pimpinan lama. Masalah kecil yang masih tidak putus-putus tanpa penyelesaian bukan sahaja menyebabkan sebilangan golongan mahasiswa berasa muak tetapi semakin memandang sinis terhadap pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar 2009. Sedih dan cukup tidak berpuas hati memikirkan begitu banyak keistimewaan yang tidak diperolehi oleh mahasiswa lain diberi kepada mereka namun hak-hak dan janji mereka kepada mahasiswa masih belum mampu diselesaikan.


Mahasiswa memilih saudara Mursyidi dan seangkatan lainnya bukan untuk meminta mereka berdemonstrasi di HEP, berkorban harta dan sekadar mengisi jawatan kosong dalam kabinet MPP tetapi mahasiswa mahukan mereka membawa suara mahasiswa, membuka mata semua bahawa mahasiswa tidak mahu dianggap seperti anak kecil. Hanya menurut kata tetapi tidak mampu membuat keputusan sendiri yang bukan sekadar berdasarkan pemikiran biasa malah mungkin mampu mencipta nama di UiTM ini. Bukankah impian semua mahu melahirkan mahasiswa yang jika dibuang ke laut sekalipun mampu menjadi pulau? Jangan terus dibantah suara mahasiswa tetapi dengarlah dan berfikirlah sejenak. Adakah barisan kabinet MPP tidak percaya adanya golongan mahasiswa mampu mengatasi pemikiran mereka?


Semester ini adalah merupakan semester terakhir untuk saudara Mursyidi membuktikan pimpinan beliau bukan sahaja sekadar mewarisi jawatan tetapi dapat memberi pembaharuan kepada mahasiswa di universiti ini. Ini adalah cabaran sebenar bagi Majlis Perwakilan Pelajar 2009 sebelum menutup tirai kuasa mereka; memastikan hak-hak mahasiswa sebagai manusia beragama terpelihara dan kejayaan mereka dalam membuka pemikiran mahasiswa kearah lebih global..mungkin ada banyak perkara yang lebih baik yang bisa dilakukan.


Memikul tanggungjawab sebagai pemimpin bukan sekadar memikul nama dan perkara-perkara yang kecil..tetapi memikul tanggungjawab untuk membawa mahasiswa kepada jalan yang betul sebelum mereka sampai ke garisan penamat mereka. SELAMAT BERJAYA.