Tahniah dan terima kasih didahulukan dari pihak kami atas keprihatinan pihak Tuan. Kami di pihak GMM bukanlah untuk mengkritik tapi adalah sekadar mahu membina atau menyediakan ruang untuk mahasiswa UiTM berbicara segala permasalahan kampus mahupun dunia luar. Kami tidak mampu untuk melaksanakan apa yang rakan-rakan GMM lontarkan, tapi anggaplah kami sebagai satu "third force" dalam kepimpinan dan pentadbiran UiTM. Terima kasih daun keladi buat MPP,UiTM sentiasa di hati.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Saudara Mohd. Farid Zuhri Ismail |
Mahasiswa juga sinonim dengan usia muda belia. Pada usia tahap ini timbulnya perasaan ingin tahu yang menebal, pemikiran semakin kreatif dan kritis serta idealis, juga bersemangat dalam mengutarakan sesuatu isu atau mempertahankan hujah. Kematangan mahasiswa tidak dapat diragui lagi pada peringkat ini. Dan kerana itulah saya merasakan mahasiswa semakin berani menyatakan pandangan serta membangkitkan persoalan untuk pelbagai perkara dalam wadah yang disediakan. Adalah tidak salah, dalam ruang lingkup demokrasi yang disediakan, menyuarakan pandangan serta kritikan, dari sudut pemikiran mahasiswa itu sendiri, tanpa mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir lain yang dapat mengugatkan nilai keintelektualan seorang mahasiswa.
Semangat para mahasiswa yang jitu itu harus dibentuk ke arah yang baik serta kukuh pegangannya, bukan mudah beremosi dalam menghadapi sesuatu yang tidak mereka setujui. Bijak adalah sifat yang perlu dipupuk dalam perlakuan, pemikiran serta tindak-tanduk mahasiswa dalam membina diri untuk persediaan terjun ke dunia yang lebih mencabar selepas alam universiti.Jika hanya mengikut perasaan membuta tuli dalam tindakan serta mudah terperangkap dengan isu-isu yang timbul, jelas menunjukan keilmuan yang mereka ada belum cukup kuat untuk menerangkan kegelapan yang melingkari mereka.
Berbicara secara ilmiah, padat dengan nilai kefahaman yang tinggi, hujah yang nyata serta bukti yang jelas adalah perlu dipandu dengan undang-undang yang membina dan mengawal, ini agar suasana itu tidak terkeluar daripada skop perbincangan yang begitu luas itu. Undang-undang tidak mengongkong, malah memberi panduan serta jalan yang selamat dari tergelincir ke lembah kehancuran. Bayangkan saja negara tanpa undang-undang, bukankah akan membuatkan keadaannya kucar-kacir. Begitulah juga dalam sebuah universiti, mahasiswa akan mudah rosak dan 'dirosakkan' tanpa undang-undang. Penghormatan pada undang-undang yang sedia ada adalah penyediaan melahirkan warga yang mulia serta masyarakat yang dihormati.
Disini ingin saya kaitkan dengan pandangan saya itu dengan kemunculan GMM (Gabungan Mahasiswa Merdeka), yang dapat saya pastikan adalah satu wadah untuk para mahasiwa yang kritis dalam mengutarakan pandangan serta prihatin dengan isu universiti secara khusus nya dan isu luar secara am nya. Mereka juga dapat lah kita ketahui terdiri di kalangan pelajar UiTM itu sendiri, melalui apa yang disediakan dalam laman blog mereka. Mereka juga ada facebook serta menjemput kebanyakan dari kita untuk bersama mereka membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan.
Saya ada beberapa pandangan tentang kumpulan ini, pada apa yang saya lihat dan dengar dari pelbagai pihak. Satunya tindakan mereka dalam membangkitkan isu-isu berkaitan universiti adalah tanda peduli mereka terhadap universiti. Ini dapat menghilangkan stigma yang wujud dan makin membiak di kalangan masyarakat, iaitu isu mahasiswa lesu. Ini juga menunkjukan bukan semua mahasiswa, yang sering dituduh mengamalkan 3K (Kolej, Kampus, Kafe) serta tidak aktif membabitkan diri dalam program universiti. Tetapi perlu dinilai adakah keprihatinan mereka (GMM) dalam mengutarakan isu kampus itu adalah kerana memang ingin membantu menyelesaikan masalah atau hanya menimbulkan masalah untuk menampakan kelemahan. Mungkin ada yang mempersoalkan niat itu sukar ditafsirkan, tetapi ianya boleh dibuktikan dengan tindakan, dalam hal ini, mengenai perkara yang dibangkitkan, dalam sesuatu isu tanpa melihat gambaran yang lebih luas serta jelas menunjukkan hanya bertujuan untuk menghentam sesuatu pihak. Tanpa bukti yang kukuh serta hujah yang nyata, adalah memalukan jika hanya memaparkan sesuatu yang tidak jelas serta mudah disangkal kebenarannya. Terhina status mahasiswa itu jika bertindak sedemikian.
Selajutnya saya melihat GMM medan membina pemikiran yang luas. Kita harus tercabar dalam perkara-perkara yang dibangkitkan agar kita boleh melahirkan pemikiran yang kritikal serta boleh berfikir secara matang. Tidaklah kita hanya di kaitkan dengan stigma 'suka hiburan' saja, walaupun sudah menjadi fitrah zaman muda ini seperti zaman hiburan tidak berbatasan. Namun begitu, adakah menimbulkan isu-isu yang kritikal itu adalah atas kesedaran mahasiswa itu sendiri terhadap perkara tersebut atau kerana 'dipandu' atau 'dibayangi' oleh entiti atau pegangan tertentu. Tidak pula pantas saya ingin menuduh mereka adalah wakil 'orang luar' atau mencandu idea golongan 'tertentu', tetapi perkara ini dapat dihidu melalui apa yang mereka paparkan dalam laman mereka, dan tidak perlulah saya mengulaskan satu persatu, kita hanya perlu baca apa yang disediakan di laman blog mereka dan nilai lah melalui kefahaman anda yang luas.
Akhir kalam, saya tidak berniat langsung untuk membangkit kan isu ini agar kalian merasakan GMM tidak relevan serta berpaksikan sesuatu pihak, dan juga tidak saya ingin menyokong seratus peratus tindakan yang mereka lakukan. Apa yang baik (bagi kita; melayu, muslim dan malaysia), harus kita hayati dan sokongi dan apa yang jelas buruk harus kita hindari. Saya mengharapkan mereka bukan apa yang saya persoalkan, kerana jika ya, kita amat rugi mempunyai mahasiswa-mahasiswi yang cakna dan berpemikiran tajam, namun sayangnya rupanya ada udang di sebalik batu.
Dan pada kalian juga saya harapkan agar apabila membaca perkara yang di bangkit kan, jangan mudah dan gelojoh melabelkan pihak tertentu, kerana ianya juga menunjukan minda kalian dipengaruhi (serta mudah terpengaruh) oleh sesuatu sebenarnya. Marilah sama-sama kita mengangkat pemikiran intelektual mahasiswa yang bebas dari sebarang pengaruh, tetapi dipandu oleh ilmu, kefahaman, jati diri dan sahsiah yang mulia agar kita menimbang setiap yang kita hadapi dengan pandangan kita jelas. Semuanya kini terpulang untuk kalian menilai mereka ini apa sebenarnya.
Jangan kita bunuh nilai intelektual mahasiswa. Bijaklah menilai sesuatu perkara dengan kadar kefahaman kita.
Undang-undang adab dan budi pekerti membentuk kemerdekaan bekerja.Undang-undang akal membentuk kemerdekaan berfikir.Dengan jalan menambah kecerdasan akal,bertambah murnilah kemerdekaan berfikir. ( Hamka).
Wallahualam.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM,
Saudara Mohd. Farid Zuhri Ismail.
0 comments:
Post a Comment