Terkadang aku terfikir,
Adakah seluruh duit yang di'yuran'kan kepada pelajar itu,
benar-benarnya seratus peratus diagih ke tempat yang sepatutnya?
Apakah sungguh dengan tulusnya bahagian yang disalur kerajaan itu telah di'labur' pada yang hak?
Terkadang aku terfikir,
Mungkinkah ada porsi dari tabung amanah kolej yang diseleweng?
Terkadang aku terfikir,
Mungkinkah ada sedikit bagian dari wang buat program pelajar,
ditelan oleh siapa-siapa yang perutnya sentiasa lapar?
Aku selalu berfikir dan berfikir.
Sambil kakiku melangkah,
Sambil tanganku mengelek kitab-kitab akademik yang tebal,
Sambil membetulkan tali kasut yang sudah banyak lubang,
Dan apabila jemariku ingin memetik tali-temali si klasik jua,
Otakku ligat berfikir.
Entah-
Akhirnya setelah aku berhasrat ingin suarakannya pada suatu hari,
Aku ditampar keji oleh mulut yang selalu 'taat' tiada sudah pada kekejian.
Katanya---
"Dasar tidak tahu diuntung!
Yuran murah, membaham subsidi.
Banyak pula yang ingin disoal tanya!"
Aku melepaskan si klasik yang sayu dari genggaman.
Dan bingkas ingin melawan butir yang berbisa,
Merah matanya namun tidak semerah saga.
Aku mengeluh dan duduk kembali.
Baiklah....baiklah...
Aku akur untuk menjadi seperti apa adanya aku-
Diam dan patuh.
Dan kali ini lebih laju jemariku memetik.
Romanza, temani hatiku yang sayu.
Bukan kerana aku terlalu ingin bermulut besar dan konon-
Ingin menjadi hero yang mendesak dan konon-
berani.
Tapi seingat aku kezaliman tidak pernah diizinkan bertunas secara halal dalam kamus manusiawi.
Romanza beralih kepada Asturias.
Namun kezaliman masih di situkah?
Aku tidak mahu menuduh-
Benar. Aku tidak pasti. Dan tidak ingin menzalimi diri sendiri.
Aku akan terus duduk memetik di sini.
Seperti apa yang sepatutnya aku lakukan.
14 December, 2018 17:33
6 years ago
0 comments:
Post a Comment