Jika mantan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, saudara Mohd Mursyidi b. Mohd Diah pernah menjadi nakhoda kepada mahasiswa, menggalas tanggungjawab besar membawa nama UiTM ke merata-rata bagaimana pula dengan pengganti kerusi Yang DiPertua terbaru kita? Sesekali terdengar suara-suara berkata “Buat apa pergi mengundi kalau yang bertanding setakat pro Aspirasi?”.
28 Januari 2010 mencatatkan sekali lagi sejarah di UiTM Shah Alam apabila berjaya mengadakan Pilihan Raya Kampus secara e-voting sekaligus menampilkan pelapis-pelapis pimpinan terbaru dalam UiTM. Berbekalkan semangat kepimpinan, calon bagi setiap fakulti bertanding secara matang dan profesional sekali tanpa menimbulkan sebarang permasalahan besar. Poster-poster serta risalah calon diedar ke sekitar fakulti namun kemeriahannya..dilihat tidaklah seberapa berbanding universiti tempatan lain. Mungkin tanpa kehadiran calon pembangkang, pro Mahasiswa menyebabkan suasana PRK dilihat bagai tiada apa-apa. Seminggu berkempen, hanya warna-warni poster bergantungan dicelah-celah bangunan dan pokok diselangi kempen dari bilik kuliah ke bilik kuliah bertemankan ‘Campaign Manager’. Ada juga pamplet-pamplet calon diedar, tidak kurang yang membahagi-bahagi gula-gula, sekadar mengambil hati pengundi untuk mengundi. Namun, sejauh manakah kessedaran mereka untuk mengundi? Adakah kerana tiadanya pro Mahasiswa, UiTM begitu lesu dalam PRK nya?
Melihat kepada YDP terbaru saudara Ridzwan b. Salleh, mungkin ramai yang tidak menyangka alumni Cawangan UiTM Jengka, Pahang yang sebelum ini langsung tiada pengalaman berada dalam Majlis Perwakilan Pelajar di universiti mampu memberi pembaharuan dalam UiTM Shah Alam. Adakah saudara Ridzwan sekali lagi ingin mengulang sejarah yang sama, mengulangi kerja-kerja YDP sebelumnya atau terselit dalam pemikirannya seribu cara membangunkan lagi kredibiliti dan wacana ilmu mahasiswa? Cara pimpinan dan pemikiran beliau nanti adalah merupakan pantulan dan cermin kepada keberhasilan program-program 1Malaysia, Biro Tatanegara dan sebagainya yang menelan peruntukkan jutaan Ringgit Malaysia rakyat Malaysia.
Calon-calon yang mendapat kemenangan terdiri daripada tapisan-tapisan melalui program-program yang kerap kali diadakan. Menunggu-nunggu kopi panas tiba ke meja, pernah GMM terdengar satu adunan bicara sesama mahasiswa..”Diorang masuk bertanding untuk keje ngan HEP jeke..bukan bawa suara pelajar?” GMM tertanya-tanya. Maksud disebalik kata-kata pelajar tersebut. Bukankah MPP baru dilantik untuk memudahkan kerja pengurusan HEP justeru memudahkan masalah mahasiswa dibawa ke meja pengurusan? Persoalannya disini, madah-madah tersebut dikeluarkan kerana pincang institusi pengurusan HEP atau kalangan mahasiswa tersangat kurang informasi tentang Majlis Perwakilan Pelajar? Atau mereka sekadar membawa kata-kata orang lain yang lebih lidah dari rasional? Atau mereka sangat jauh dari MPP sebelumnya hingga menganggap MPP sekadar majlis perwakilan biasa-biasa sahaja.
Seminggu. Lebih. Cuba kita perhati corak dan budaya PRK UiTM yang cukup berlainan dengan PRK universiti tempatan lain. Tiada himpunan besar-besaran, tiada ‘open-talk’ besar-besaran dihadapan semua pelajar, hanya seminggu kempen diadakan, peruntukkan berjumlah kira-kira RM500 hanya kepada gambar, risalah, poster, belanja penggantung poster..cukup tidak melihatkan semangat PRK. Tidak perlu membazir, jawapan yang bernas sekali. Namun, jika semangat itu ada, gema PRK pasti dapat dilihat pada wajah-wajah mahasiswa.
Sekali lagi, adakah kerana tiadanya calon pro Mahasiswa yang bertanding seperti universiti tempatan lain? Kesan lesu, tanpa penglibatan sepenuhnya mahasiswa dalam PRK, lihatlah calon-calon yang telah menang dalam bertanding. Cuba kita kaji, betapa matang pengundi dalam memilih calon-calon yang benar-benar berkepimpinan dalam universiti. Jika di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, mungkin hanya rupa menjadi taruhan. Fakulti Sains dan Perubatan mungkin akademiknya menjadikan pilihan utama. Bagaimana pula dengan pengaruh mantan-mantan MPP yang berat sebelah dalam membantu kempen. Mantan-mantan lebih suka menjaja nama-nama calon yang banyak membantunya dalam kerja. Rapat dan mesra. Begitu juga dengan pengaruh persatuan dalaman. Pasti calon pilihan yang sedap mata memandang akan dipilih. Disini dapat dilihat betapa calon mengharapkan pengaruh-pengaruh orang-orang tertentu dalam mencapai kemenangan. Bakat kepimpinan akan diasah selepas ditabalkan, seiring dengan gerak kerja. Oh, jadi benarlah pemenang-pemenang PRK kali ini tidak cukup berkepimpinan? Jadi, adakah kemenangan mereka atas keyakinan pengundi atau kerana pengundi sudah tiada pilihan lagi. Persoalan yang tak seberapa besar, namun impaknya pada barisan MPP terbaru ini, YDP baru sekadar tangkap muat kerana barisan-barisan pemenangnya sudah ketandusan mahasiswa hebat-hebat.
Usah diguna istilah PRK aman damai di UiTM tetapi gunalah istilah PRK lesu di UiTM. Jika universiti lain gempak dengan kisah kotak undi dibawa keluar universiti, ‘server down’ kira-kira 1 jam dalam e-voting, calon dilarang bertanding kerana berkempen melalui Facebook kerana disyaki berbau kepartian, calon-calon berlainan bangsa berhimpun besar berkempen, suara bising berteriak melaung-laung kata-kata semangat kepada calon, warga UiTM Shah Alam tiada kisah-kisah tersebut. Tiada cabaran dan proses mematangkan mahasiswa keseluruhannya.
Ini bukan kehidupan kampus yang sebenar-benarnya. Bukan membawa amarah, berkata tanpa alas atau menempelak tanpa sedar diri, tetapi mahu sama-sama membuka pemikiran kotak. Usah terlalu merasa tenang jika masih belum mahu hadapi makna hidup yang sebenar.














