Selamat Datang ke blog GMM

Siapa kami??Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka!

UiTM Seluruh Malaysia

Bersatu demi MATLAMAT yang SAMA. BUKA MATA BUKA HATI.

Perjuangan tidak berhenti disini

Demi masa depan anak-anak kami kelak, kami akan BERSATU memperjuangkan HAK kami.

Siapa kami?

Kamilah Gabungan Mahasiswa Merdeka

FREEDOM!!

HAK kita semua

A Tribute to MH370







GMM; Cakna Dunia Sebenar

Terkini.. Isu MH370.

Assalamua'laikum wbt,  Semalam dunia telah menyaksikan satu sidang media yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkaitan dengan isu MH370. Ini merupakan petikan daripada ucapan beliau yang memberi 1001 kesedihan kepada seluruh warga yang prihatin akan isu ini.


" Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan.

Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat  MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini.

Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan;  saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini. "

 

Kami daripada team Gabungan Mahasiswa Merdeka mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak kapal MH370. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Panglima Hishammuddin Tun Hussein, pemangku Menteri Pengangkutan dan seluruh warga kerja operasi mencari dan menyelamat yang bersengkang mata untuk tetap terus memberi perhatian kepada isu MH370 walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.


Al Fatihah kepada keluarga yang beragama Islam.

pesanan Admin: Kepada yang masih menyebarkan spekulasi, mencipta kisah sendiri, letakkan diri anda seketika ditempat mereka yang diuji. Seluruh dunia berkabung dengan berita ini, namun jangan dilupakan 529 penyokong Dr Mursi yang dijatuhkan hukuman mati tanpa perbicaraan yang adil di Mesir. 700 lagi akan dibicarakan hari ini. Moga-moga sempadan negara tak membuat kita melupakan bahawa mereka adalah saudara seaqidah dengan kita. 


GMMprihatin
GMM; Cakna Dunia Sebenar

Keputusan Rasmi PRK DUN KAJANG.

Keputusan Pilihanraya Kecil Dun Kajang.

Assalamua'laikum wbt, akhirnya terjawab segala teka-teki Pilihanraya yang 'panas' ini. Setelah bertukar calonnya, keputusan nyata menepati ramalan.

Datin Paduka Chew Mei Fun ( Barisan Nasional )
- 11362 Undi

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ( Parti Keadilan Rakyat )
- 16741 Undi.

Peratusan yang keluar mengundi sebanyak 72.1 Peratus.

Semasa PRU 13 lepas, Lee Chin Cheh, daripada Parti Keadilan Rakyat telah memenangi dengan mendapat 19571 undi, dan mendapat majoriti sebanyak 6824 undi.

Pelbagai ragam pengundi kali ini, ada yang membawa 'kangkung' di kawasan tempat pengundian. Mungkin ini gara-gara penurunan harga kangkung yang keterlaluan?. Atau sebagai satu simbolik sindiran kepada pemimpin tertinggi kerajaan? Tidak lupa juga dengan yang membawa adegan lakonan ala Bomoh berdekatan kawasan pengundian. Nyata, rakyat Malaysia sangat halus dalam menyampaikan teguran.

Tiada apa yang mampu dibanggakan kerana PKR tetap 'menjaga' DUN Kajang. Pada awalnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah nama yang dicadangkan untuk merangka strategi 'Langkah Kajang'. 

Adakah ini bermakna 'Kajang Move' berhasil? Atau ada tanda tanya PKR untuk ke Putrajaya?

Akhirulkalam, Admin mengucapkan Tahniah kepada Barisan Nasional kerana menghantar wakil dan sanggup bertanding sebelum mengangkat bendera putih.


-MAHASISWA CAKNA ISU SEMASA-

GMM; Cakna Dunia Sebenar 

Kejahilan yang membelenggu


Lagi program membazir dan merosakkan fikiran dianjurkan…sedangkan sudah di akhir waktu untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Mengapa mahasiswa terus dihidangkan dengan kepahitan jahiliyyah ini? Apakah destini anak bangsa yang dilaung-laungkan membawa maksud berhibur dan tenggelam dalam keseronokan semata? 

Allah…makin sakit bumi UiTM dengan program sebegini. Semakin sukar membawa motto Usaha, taqwa, mulia yang menjadi bait-bait janji dalam lagu UiTM diHatiku. 

Hiburan banyak cabangnya, mengapa perlu dengan cara sebegini dan waktu ini? Islam telah menggariskan cara untuk berhibur, admin kira telah kami nukilkan dalam artikel lepas. (artikel Mahasiswa dan Hiburan Melampau) Artikel tersebut adalah antara artikel yang mendapat hujahan yang banyak daripada pembaca GMM dan mendapat rating agak tinggi. Ramai yang mempersoalkan mengenainya dan marah kepada kami. Terbukti masih ramai yang memihak kepada perkara yang melalaikan hingga berhujah panjang lebar demi mempertahankan ia. Ingat lah, manusia itu suka menzalimi dirinya sendiri dan suka melakukan perkara yang sia-sia. Ini kata Allah dalam kalam sucinya surah al ahzab ayat 72. 

Bukan mahu berceramah, namun kami nak mengajak mahasiswa UiTM agar sama-sama kita dekatkan diri dengan program yang bermanfaat dan mendekatkan diri kita dengan Allah. Elakkan menyertai program yang mengundang percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas dan mengandungi perkara melalaikan.

Tambahan waktu mendekati musim peperiksaan ini, ada baikknya kita jauhkan diri daripada membazir masa ke tempat yang tidak sepatutnya. 

Banyak hiburan yang mendekatkan diri kita dengan Allah, contohnya zikir terapi hati, qasidah, nasyid, lagu ketuhanan, drama menginsafkan, pencetus ummah, bual bicara agama. Banyak, semua itu lebih mengisi rohani kita. Usah terus biarkan rohanimu diisi perkara yang sebenarnya menyakitinya. Mari bebaskan UiTM daripada terus menerus menganjurkan program yang tidak bermanfaat. 
Marilah kita cari hiburan yang indah dan bersyariat, jauhilah hiburan yang lalai dan bermaksiat. 
 “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” 
(Al-Hadid: 20)

Usah mencari bahagia dengan perkara dosa
-ustaz Pahrol Mohd Juoi-
BOIKOT KONSERT DESTINI!
-GMMPRIHATIN-


Mengubah rentak politik kampus UiTM


Gelanggang politik kampus UiTM bakal dihangatkan dalam masa terdekat. Maka, sebelum barisan kepimpinan mahasiswa bertukar, elok lah kita mengkaji akan sejarah politik kampus di UiTM. Penulis pasti ramai mahasiswa yang masih kabur akan rentak politik kampus di UiTM kerana UiTM ini special sikit daripada institusi pengajian tinggi yang lain. 

Apa yang special pasal UiTM? 

Nah, penulis bawa kembali memori beberapa PRK sebelum ini yang mencatat pelbagai emosi dalam sesi perlantikan Majlis Perwakilan Pelajar. Penulis bersetuju dengan pandangan mahasiswa luar bahawa UiTM tidak menunjukkan kesamaan dalam aktiviti politik kampus berikutan kekebalan Akta 174 yang melarang kebebasan mahasiswa bersuara dan berprogram sepertimana yang dilakukan oleh mahasiswa universiti lain. 

Kadang UiTM dilabel sebagai tertutup dan kurang berdaya saing berikutan arena politik kampus yang hambar dan kurang menarik. Mengapa terjadinya sebegini? Jika difikirkan semula, UiTM merupakan institusi pengajian yang paling besar kerana mempunyai cawangan di setiap negeri dan menyalurkan ramai graduan yang bertaraf antarabangsa dan berkualiti. Namun mengapa dalam aktiviti melatih kepimpinan pelajar melalui platform Pilihan Raya Kampus, UiTM agak terkebelakang berbanding institusi pengajian tinggi yang lain? Ini merupakan satu persoalan penting yang perlu difikirkan oleh seluruh warga UiTM. 

Hal ini kerana gelombang kematangan suara mahasiswa sudah meliputi keseluruhan institusi pengajian tinggi yang lain dan membuat UiTM agak terpulau dengan sendirinya berikutan sifat mahasiswa UiTM yang kurang memberi saingan setelah sekian lama didoktrinkan bahawa aktiviti politik adalah dilarang dalam kampus. 

Ironinya, acap kali setiap habis PRK UiTM, gah di dada-dada akhbar memaparkan ASPIRASI menakluk UiTM 






Headlines dan paparan seperti ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mahasiswa kerana kita sedia maklum bahawa Pro-M dan Pro-A tidak wujud dalam UiTM. (Mungkin kalau wujud pun, disebalik tabir) Tapi ini lah yang menyulitkan keadaan apabila mahasiswa merasakan politik kampus UiTM terlalu hambar dan memilih jalan untuk tidak menyertainya kerana tidak yakin akan platform yang menyuarakan hak-hak pelajar kepada pengurusan ini dan bimbang ditipu lagi oleh pihak pengurusan yang diakhir pemilihan tiba-tiba mengeluarkan statement bersifat kepartian sedangkan pada kempen dan pengundian tiada. 

Namun adakah dengan tindakan begini, keuntungannya akan sampai kepada mahasiswa? Jika mahasiswa merasakan situasi hambar pada politik kampus UiTM, bukankah mahasiswa itu sendiri wajar menghidupkannya? Majlis Perwakilan Pelajar adalah satu entiti yang amat penting bagi mahasiswa kerana ia satu-satunya pertubuhan yang disertai oleh mahasiswa sendiri dan mengelola perkara-perkara berkaitan dengan mahasiswa dari perspektif mahasiswa. Ia bertindak sebagai orang tengah antara HEP dan mahasiswa secara tidak lansungnya. Mahasiswa harus sedar bahawa MPP banyak memainkan peranan dalam meningkatkan kualiti hubungan mahasiswa dan pihak atasan. Walaupun banyak kerja-kerja belakang tabir yang tidak terlihat pada pandangan mahasiswa, namun ia tidak bermakna mereka hanya duduk goyang kaki tanpa mencuba menjadi pemimpin pelajar yang baik. 

Sebagai contoh; banyak sebenarnya projek-projek MPP terdahulu yang menguntungkan pelajar. 





Kalau nak disebut satu persatu pasti sakit hati orang yang menuduh tanpa bukti itu bila membacanya. Namun, perlu diingat, demi memperkasa dan memperbaiki sistem dan kebolehan MPP dalam menjalankan tugas, mahasiswa tidak dapat tidak harus menyertai sistem PRK bagi menentukan hala tuju kepimpinan mahasiswa itu sendiri. Tidak boleh mahasiswa yang mengerti akan kewajipan memilih pemimpin menolak untuk memilih pemimpin atas alasan sistem salah dan ‘tak jamin dapat buat kerja’. Sekiranya mahasiswa yang cakna dan faham mengambil jalan untuk berlepas tangan daripada memilih, bagaimana bila yang dinaikkan adalah mereka-mereka yang bacul dalam kepimpinan? Kemudian mahasiswa akan menjadi pengkritik tanpa henti sahaja kah? Mengapa di awal pemilihan tidak peduli dan selepas dipilih mula mencari-cari kesalahan? Ini kan politik kampus yang mahasiswa canangkan? 

Mungkin sudah tiba masanya kanvas perjuangan mahasiswa dalam arena politik kampus diubah, sudah terlalu usang dan lapuk kanvas lama yang merakam contengan emosi dan bukan tindakan yang mencerminkan kematangan mahasiswa dalam mendepani konflik PRK UiTM ini. Hala tuju lapangan PRK ini perlu disemak semula. Rujuklah PRK kampus-kampus luar yang banyak menyajikan kematangan daripada kampus kita. Kita masih terlalu jauh untuk disifatkan sebagai politik kampus yang matang dek kerana permasalahan kesedaran mengundi pun masih tidak selesai. Ambillah contoh yang baik, bukannya yang sebaliknya. 

Mahasiswa, anda sendiri punya hak menentukan kepimpinan anda. Jangan biarkan hak itu disalah guna oleh pihak-pihak berkepentingan. 

 "Pilihanraya kampus sepatutnya dimeriahkan dengan debat dan wacana ilmiah dua hala bagi mengukur kekuatan ilmu, idealisme dan kematangan para calon.Bukannya sekadar kempen biasa, ucapan satu hala, edar risalah, gantung bendera serta menjaga pagar kolej kediaman. Jika budaya ini tidak berubah, kita tidak boleh mengharapkan apa-apa dalam tempoh 10 tahun akan datang." 

Semak semula ibrah dalam sirah pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, hinggakan waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah. Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar.

Mufti Pahang; Datuk Abdul Rahman Osman berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain. Maka katanya lagi, mengundi itu wajib dan memilih pemimpin Islam itu juga wajib. - ARTIKEL




“Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya” (Surah Al-Baqarah pada ayat 283), Tafsir Al-Manar - PILIHANRAYA DAN HUKUM MENGUNDI

Renung-renungkan lah

Buat mereka yang sibuk menghasut agar mahasiswa menidakkan proses ini, lihatlah betapa sebenarnya kalian telah mengajak mahasiswa untuk terjun dalam kezaliman. 

-Sertai kami dalam mengubah kanvas perjuangan mahasiswa-

team GMM