HIMPUN : Pandang sisi Mahasiswa

Assalamualaikum wbth...

Saya merupakan mahasiswa kelahiran Malaysia. Secara asasnya, jiwa Melayu bergelora di dalam diri saya. Terlalu lama menetap dalam rumah kayu beratap bata berdinding rotan, berkejaran dengan lembu dalam kebun getah, menjala ikan di sungai tepi sawah dan bermain gurah dan gasing di tepi rumah.

Belajar quran dengan arwah datuk yang garang, menyalin buku-buku agama karya tangan warisan berzaman dan berjalan ke surau waktu pagi yang dingin itu adalah kegiatan yang menggamit kenangan.

Inilah kehidupan beradat beragama yang penuh dengan ketenangan. Tiada lagi perlu dipertikaikan betapa Melayu dan Islamnya saya dalam menulis surat ini untuk tatapan peserta HIMPUN.

Setelah dewasa dan berhadapan dengan pelbagai kerenah alam, pandangan berubah, kematangan bercambah, pemikiran tidak lagi berada dalam sifir keluarga, tetapi merebak untuk kepentingan sejagat.

Dahulu, dididik bahawa bangsa kita perlu dimartabatkan tanpa menghirau bangsa lain yang bercambah dan membiak di persekitaran. Ini lumrah dilahirkan Melayu, dilahirkan untuk menjadi rasis. Namun, dengan izin Allah, perasaan perkauman itu kurang menebal dalam diri, kerana dibatasi dengan larangan Allah swt terhadapnya.

Arakian, bertemulah saya dengan susuk bernama HIMPUN dalam beberapa nafas yang lepas. Mendengar ucapan dan percakapan sekreteriatnya yang begitu bersemangat. Dari percakapannya, jelas fikrah kumpulan yang diwakilinya.

Tiada dapat diselindungkan lagi fikrahnya itu. Dari tulisan penulis-penulis pendokong HIMPUN, semakin lama semakin jelas fikrah perhimpunan ini. Jelasnya fikrah ini adalah seperti kuatnya bau durian yang disimpan dalam kereta di waktu tengah hari yang terik panasnya. Dengan memahami fikrah mereka, barulah kita dapat mengikuti secara jelas tujuan perhimpunan ini.

Niat murni

Adapun niat murni yang ingin disalurkan kepada umat Islam, iaitu mengukuhkan aqidah umat Islam, justeru sangatlah patut disokong oleh sekalian umat Islam. Kerana aqidah yang tepat dan murni adalah diperlukan untuk melahirkan umat yang benar dan berwibawa.

Adapun niat yang murni perlu disokongi dengan perlakuan yang benar. Perlakuan yang kebaikannya melebihi keburukan. Perlakuan yang mengambil kira sensitiviti dan perasaan kaum minoriti.

Perlakuan yang tidak melanggar hak kafir zimmi yang duduk berlegar bersama kita tanpa ada sedikit pun dalam fikiran mereka untuk memberontak dan menghancurkan rumah ibadat kita. Perlakuan yang tidak akan menikam kita dari belakang sehinggakan orang bukan Islam semakin jauh daripada kebaikan dan keadilan Islam.

Siapakah perosak kemurnian niat?

Pihak yang merosakkan niat murni ini adalah pihak HIMPUN sendiri. Niat murni ini tidak disusuli dengan perancangan teliti oleh sekreteriatnya. Cuba lihat salah satu daripada objektifnya yang terang menuding jari kepada pihak lain.

Objektif itu menulis, "khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011". Dalam sidang media, mereka berkata, "Kes yang terakhir ini membuktikan betapa pihak yang mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka." dengan merujuk kepada kes DUMC sedangkan Sultan bertitah, bahawa JAIS dapat maklumat bahawa berlaku proses tersebut, tetapi, "keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil."

Sekreteriat HIMPUN secara semberono melanggar titah raja dengan menyatakan bahawa berlakunya usaha ini walaupun pihak kerajaan sendiri tiada maklumat yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap mereka atau dalam bahasa yang senang difahami, "ianya hanya khabar angin sahaja".

Malahan, lihat, bagaimana tiada satu pun objektif yang meminta kita kembali kepada ajaran Allah supaya boleh bertahan jika aqidah digoncangkan dengan gempa hujah dari agama luar.
Mungkin pihak HIMPUN lupa bahawa jika seseorang itu mempunyai aqidah yang kukuh, mereka tidak akan goyah sedikitpun walau datang seribu paderi dan sami buddha untuk memesongkan aqidahnya.

Adakah pihak HIMPUN beranggapan bahawa aqidah umat Islam walaupun sekuat mana pun, mampu dipesongkan oleh paderi dan sami? Adakah pihak HIMPUN beranggapan hujah Islam kurang gagah berbanding hujah Kristian dan agama lain?

Target yang salah

Jelas sekali target HIMPUN adalah salah. Objektif mereka ada pesongan yang jauh daripada untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan untuk kepentingan Islam.
Islam memandang usaha yang dilakukan oleh umatnya tidak mengambil kira keberjayaan usaha itu. Tetapi, Islam menyuruh kita membuat sesuatu usaha atas untuk mencapai keputusan yang baik, dengan perancangan yang teliti, dan dengan kesungguhan yang melebihi kesungguhan golongan bukan Islam.

Islam melarang umatnya membuat sesuatu tanpa usaha untuk mencapai kemenangan. Cuba lihat, Rasulullah berhijrah dengan penuh teliti perancangannya. Sedangkan, Rasulullah itu pasti akan dilindungi Allah swt.
Jika umat Islam yang ingin berhijrah, ditangkap dan dibunuh sekalipun, mereka beroleh syurga kerana usaha mereka mengikuti suruhan Allah. Namun, Rasulullah masih lagi merancang dengan teliti. Mengapa perancangan HIMPUN begitu tidak sempurna?

Target sebenar
Target yang sebenar yang perlu dihapuskan dengan buluh runcing bersalut racun adalah kelemahan aqidah umat Islam itu sendiri. Kelemahan yang disebabkan oleh tangan-tangan umat Islam itu sendiri.

Cuba lihat, betapa banyaknya program realiti TV yang mengajak umat Islam ke arah hiburan yang melaghakan. Cuba lihat berapa banyak konsert yang mengajak pergaulan tanpa batasan. Cuba lihat betapa matapelajaran Pendidikan Islam dianaktirikan sehinggakan ia dianggap picisan. Cuba lihat betapa hukum Islam diaibkan setiap hari oleh umat Islam sendiri.

Keimanan yang tinggi kepada Allah berserta aqidah yang murni, pasti tidak akan berupaya dipesongkan lagi. Jadi, pihak HIMPUN perlulah meminta supaya pihak kerajaan mengurangkan hiburan dalam negara kerana ini yang menyebabkan iman rakyat boleh menjadi senipis rambut.

Dengan menguatkuasakan akta murtad, murtad masih lagi boleh berlaku, kerana untuk murtad, tidak perlu kepada persetujuan mahkamah. Sambil-sambil tengok TV pun boleh murtad!

Kristianisasi

Menurut makna dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kristianisasi ialah istilah bagi gerakan penganut Kristian untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan masyarakat seluruh dunia. Secara jelas dan terang ditulis di laman sesawangnya, "tema himpunan tertumpu atau fokus kepada kegiatan kristianisasi, kesan dan cabarannya kepada masyarakat majmuk di negara ini."

Tapi, dalam terang mentari suluhan objektif perhimpunan ini sendiri yang menuding jari kepada warga kristian atas kelonggaran aqidah umat Islam, mereka masih lagi cuba mengelirukan dengan pernyataan songsang mereka, bahawa "ia bukanlah provokasi terhadap orang Kristian".

Kesan HIMPUN kepada Masa Depan

1. Hubungan antara Islam dan Kristian semakin jauh. Cuba kita teliti dan baca setiap komen-komen antara umat Islam dan rakyat bukan Islam, yang boleh dibaca dalam Malaysiakini dan Malaysian Insider. Disebabkan HIMPUN ini, orang bukan Islam berkeinginan mengadakan juga perhimpunan mereka. Dan, umat Islam membalas dengan kata-kata yang kasar seperti, "tak sedar diri duduk negara orang". Inikah yang ingin dicapai?

2. Umat Islam yang sudah dipesongkan tidak kembali kepada Islam disebabkan HIMPUN ini. Cuba lihat tentatif HIMPUN. Orang yang berharap 250000 orang (seperti yang didakwa Mufti Perak) akan kembali kepada Islam, pastinya manusia yang berfikiran positif tanpa mengetahui hakikat sunnatullah, "iaitu usaha tangga kejayaan". HIMPUN hanyalah satu pertunjukan bilangan umat Islam kepada bukan Islam.

3. Orang Krisitian tetap tidak akan berhenti menyebarkan fahaman mereka walaupun perlembagaan menghalang mereka. Dalam ajaran mereka, menyebarkan Kristian adalah kewajipan, seperti yang ditulis dalam Gospel of Matthew."Go ye therefore, and teach all nations, baptizing them in the name of the Father, and of the Son, and of the Holy Ghost: Teaching them to observe all things whatsoever I have commanded you: and, lo, I am with you always, even unto the end of the world. Amen."

Sekatan ini tidak akan menyebabkan mereka berhenti. Adakah umat Islam akan berhenti menutup aurat jika kerajaan Malaysia melarang penutupan aurat? Umat Islam tetap akan menutup aurat, kerana ianya kewajipan agama. Jadi, orang Islam tidak boleh berangan-angan, bahawa dengan adanya akta itu, Kristian tidak akan lagi disebarkan. Penganut Kristian yang kukuh pegangan kepada Kristian tetap akan menyebarkannya.


HIMPUN, ataupun Perhimpunan Sejuta Umat ini, secara realitinya adalah program berniat murni tapi, dilaksanakan dengan salah. Ketegangan agama pasti akan berlaku, jika Islam terus dimomokkan sebegini oleh umat Islam sendiri. Jika mahukan kejayaan, pastikan umat Islam dilengkapi dengan kenyataan balas terhadap hujah mereka, serta sediakan hujah dari sebelah kita untuk menunjukkan kemurnian agama kita.

Sekian, semoga kejayaan bersama masyarakat beriman.

Assalamualaikum wbth.

Abdul Manaf Abdullah

0 comments:

Post a Comment